Home / Lain - Lain / YONG JIN KUN, NG QI XUAN DINOBAT OLAHRAGAWAN, OLAHRAGAWATI MASISWA 2018

YONG JIN KUN, NG QI XUAN DINOBAT OLAHRAGAWAN, OLAHRAGAWATI MASISWA 2018

Prestasi cemerlang atlet Taekwondo, Yong Jin Kun dan atlet Badminton Ng Qi Xuan tahun lalu telah berjaya menobatkan mereka sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) pada Majlis Anugerah Sukan MASISWA 2018 kali ke-6 yang berlangsung di Hotel TENERA, Bandar Baru Bangi.

Kejayaan olahragawan itu dibuktikan apabila beliau telah memenangi pingat Emas di US Open dan seterusnya memenangi pingat Perak di Asian Taekwondo Championship di Ho Chi Minh.

Manakala Ng Qi Xuan tidak kurang hebat apabila berjaya menyertai World University Games dan telah memenangi pingat emas menerusi acara beregu wanita di ASEAN University Games 2018.

Kedua-dua atlet itu meraih gelaran berkenaan buat pertama kali susulan pencapaian cemerlang bukan hanya kepada Universiti masing-masing malahan pada negara sepanjang tahun 2018.

Selain itu, anugerah Olahragawan itu turut dicabar atlit Renang dari Taylor’s University, Tia’a Faang Der yang telah berjaya memecahkan rekod persendirian dan juga rekod negara dalam acara 400m individu medley pada SUKMA 2018 sekaligus telah menobatkan beliau sebagai Olahragawan Harapan MASISWA.

Manakala Loke Shin Hui yang telah beraksi cemerlang dengan memenangi pingat Emas dalam acara Recurve Team Event di ASEAN University Games 2018 dan juga merupakan atlit memanah negara dari INTI International College Subang ini berjaya merangkul Anugerah Olahragawati Harapan MASISWA.

Tambahan itu, pemenang pingat Gangsa di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) iaitu Pasukan Ragbi Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah berjaya merangkul Anugerah Pasukan Terbaik Lelaki MASISWA dan selaku Juara Liga Hoki Malaysia kategori wanita.

Pasukan Hoki Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pasukan Terbaik Wanita MASISWA.

Pada majlis itu juga, Astro Arena, Sinar Harian dan News Sabah Times juga telah menerima anugerah Rakan Sukan MASISWA. Manakala, Puan Nurhayati Daud telah menerima Anugerah Sekalung Budi atas sumbangan besar beliau terhadap perkembangan MASISWA sejak dari awal penubuhan sehingga kini.

Sembilan kategori anugerah telah disampaikan pada majlis yang berlangsung di Tenera Hotel dengan semua pemenang telah membawa pulang wang tunai, trofi dan sijil.

Senarai penerima anugerah :

1) Olahragawan MASISWA – Yong Jin Kun (Taekwondo)
2) Olahragawati MASISWA – NG Xi Quan (Badminton)
3) Olahragawan Harapan MASISWA – Tia’a Faang Der (Renang)
4) Olahragawati Harapan MASISWA – Loke Shin Hui (Memanah)
5) Pasukan Terbaik Lelaki MASISWA – Pasukan Ragbi Universiti Teknologi PETRONAS
6) Pasukan Terbaik Wanita MASISWA – Pasukan Hoki Universiti Tenaga Nasional
7) Zon Terbaik MASISWA – SIDMA College (Zon Sabah)
8) Rakan Sukan MASISWA 
– Astro Arena
– Sinar Harian
– News Sabah Times
9) Anugerah Sekalung Budi – Pn. Nor Hayati Binti Daud