
Pemain Malaysia gagal meneruskan kejutan selepas tewas kepada pasukan Ireland 0-3 pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Wanita Liga Dunia Pusingan Kedua di Stadium Hoki Jalan Duta. Gambar oleh : Nutawan Ja © SukanMalaysiaDotMy
KUALA LUMPUR 22 Jan. – Hasrat untuk menyaksikan pasukan Malaysia Tigress muncul juara Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua (WHLR2) tidak kesampaian apabila tewas kepada pasukan Ireland 0-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur malam tadi.

Pemain-pemain Ireland meraikan kemenangan selepas menewaskan Malaysia 3-0 dalam Perlawanan Akhir Liga Hoki Wanita Dunia 2017 di Stadium Hoki Tun Abduk Razak, Kuala Lumpur. Ireland dinobatkan juara selepas menewakan Malaysia 3-0. STRG © SukanMalaysiaDotMY
Kekalahan pada perlawanan akhir juga menyaksikan skuad Malaysia Tigress gagal membalas dendam atas kekalahan 2-1 kepada pasukan yang sama pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, Dhaarma Raj Abdullah, berkata beliau tetap gembira walaupun tewas pada aksi akhir itu berikutan sudah mencapai misi melayakkan diri ke pusingan Separuh Akhir WHL. “Tiada apa yang merugikan kami kerana apa yang penting kami sudah melayakkan diri. Malah, saya sudah cukup gembira dengan kejayaan menewaskan Itali semalam,” katanya.

Pemain Malaysia, Fatin Sukri terjatuh ketika bersaing dengan Pemain Ireland, Wilzon Zoe dalam Perlawanan Akhir Liga Hoki Wanita Dunia 2017 di Stadium Hoki Tun Abduk Razak, Kuala Lumpur. STRG © SukanMalaysiaDotMY
Meskipun dinafikan kemenangan, namun kejayaan muncul naib juara sudah memadai untuk memastikan Malaysia Tigress meraih satu daripada dua tiket automatik ke Separuh Akhir WHL yang ditawarkan oleh WHL2 Kuala Lumpur.
Tiga gol Ireland dijaringkan oleh Anna O’Flanagan pada minit ketujuh, Kathryn Mullan pada minit ke-10 dan Zoe Wilson pada minit ke-35. Malaysia berpeluang menjaringkan gol apabila mendapat pukulan penalti selepas jaringan O’Flanagan tetapi tolakan Nuraini Rashid tersasar jauh dari gawang.
Skuad Malaysia Tigress yang berada di ranking ke-21 dunia sebelum ini mengejutkan pasukan ranking ke-15 dunia, Itali apabila meraih kemenangan 2-1 menerusi pukulan penalti shoot-out selepas terikat 2-2 dalam separuh akhir semalam.

Hanis Nadia Ong dari pasukan Malaysia dipilih sebagai pemain muda terbaik Kejohanan Hoki Wanita Liga Dunia Pusingan Kedua yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 14 – 22 Januari 2017,
Gambar oleh : Nutawan Ja © SukanMalaysiaDotMy
Kejayaan ke atas Itali sudah cukup untuk membolehkan Malaysia Tigress berbangga kerana ini bermakna mereka sudah pun menempati salah satu daripada dua slot automatik ke saingan kelayakan Piala Dunia 2018 menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium atau Afrika Selatan pada Jun ini.