Home / Golf / #WAITGC2016 – Carls King buktikan mereka Raja pusingan ke 4 !

#WAITGC2016 – Carls King buktikan mereka Raja pusingan ke 4 !

IMG_6431

Pasukan Carl King bergambar selepas menjuarai pusingan ke-4 WAITGC. Gambar © WAITGC

KUALA LUMPUR, 7 August 2016: Pasukan dari Australia yang menggelarkan diri mereka sebagai Carls King bangkit dengan permainan bertenaga pada hari terakhir untuk memintas pendahulu 3 pusingan terdahulu dengan kelebihan 2 pukulan, sekaligus muncul juara pusingan ke 4 Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Dunia, (WAITGC) 2016.

Carls King yang dianggotai Steve Kemp, Andy Nicholson, Matt Williams dan Brendan Leadbeater mencatat 235 pukulan keseluruhan pada hari terakhir yang berlangsung di Kelab Golf Templer. Terdahulu pada hari ketiga yang berlangsung di lapangan sama, Carls King mencatat 244 pukulan, manakala pada hari pertama dan kedua di Kelab Golf Kota Permai mereka bermain 255 dan 236 pukulan.

Carls King mengumpul 970 pukulan keseluruhan, 2 pukulan mengatasi Putting Pirates dari Brunei yang kali ini terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dalam satu majlis berlangsung di ibu negara.

Ketua pasukan Carls King, Matt Williams yang turut ditabal selaku juara individu dengan catatan 305 pukulan menyifatkan kejayaan pasukannya itu sememangnya di luar jangkaan. “ Kami beraksi tidak konsisten dan ketinggalan 8 pukulan memasuki hari terakhir, tetapi ternyata kesemua pemain sedar tanggungjawab masing-masing pada pusingan terakhir yang membolehkan kami muncul juara. Kami sangat gembira untuk kembali semula ke Kuala Lumpur November nanti”, katanya.

Selaku juara, Carls King layak ke pusingan akhir WAITGC bersama Putting Pirates yang menduduki tempat kedua serta satu lagi pasukan dari Australia, Ball Busters yang menamatkan pusingan kelayakan ke 4 ini di tempat ketiga.

Sementara itu, dalam kategori nett, wakil Malaysia, Roba X muncul juara setelah menghimpun 452 mata, 25 mata mengatasi Kabak-Kabak dari Brunei.

Pusingan kelayakan kelima yang juga terakhir bagi WAITGC edisi 2016 ini akan berlangsung awal bulan September di Kuching, Sarawak.