Home / Lain - Lain / VIETNAM MENCADANGKAN HANYA 36 JENIS SUKAN PADA SUKAN SEA KE-31 2021

VIETNAM MENCADANGKAN HANYA 36 JENIS SUKAN PADA SUKAN SEA KE-31 2021

Tuan rumah Sukan Sea ke-31 2021 Vietnam mencadangkan 36 jenis sukan untuk dipertandingkan merangkumi 450 acara keseluruhan.

Bagaimanapun Malaysia akan mengemukakan rayuan agar 8 lagi jenis sukan untuk disenaraikan apabila Persekutuan Sukan Sea akan bermesyuarat selama dua hari minggu depan.

Dari maklumat awal yang diterima Vietnam selaku tuan rumah Sukan Sea 2021 yang mencadangkan 36 jenis sukan bakal menjadikan kontinjen Malaysia kehilangan 18 pingat emas dibandingkan dengan Sukan Sea 2019 di Filipina.

Acara sukan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dalam setiap edisi Sukan SEA, iaitu bola jaring, menjadi mangsa apabila acara digugurkan oleh penganjur edisi 2021, Vietnam, kerana tidak popular di negara itu.

Malah, lapan acara sukan lain, iaitu hoki, boling padang, pelayaran, papan selaju, Ragbi 7’s, skuasy, boling tenpin dan luncur air turut digugurkan.

SEBANYAK lapan persatuan sukan kebangsaan mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), bagi disertakan dalam Sukan Sea ke-31 di Vietnam pada tahun depan.

Lapan sukan berkenaan adalah sambo, kriket, pelayaran, bola jaring, boling padang, hoki dalam dewan, skuasy dan ragbi tujuh sebelah.

Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, kesemua permohonan tersebut akan dibawa oleh wakil MOM sewaktu sesi maya bersama ahli Persekutuan Sukan Sea (Seagf), pada 21 dan 22 Julai ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza tidak menolak kemungkinan bahawa lebih ramai atlet muda dan pelapis, akan dihantar bertanding pada Sukan Sea 2021, namun tertakluk kepada perbincangan bersama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, serta persatuan sukan kebangsaan.

Beliau menegaskan pembabitan lebih ramai atlet muda atau pelapis, adalah sebagai medan pendedahan sebelum mereka berdepan temasya sukan yang lebih besar, termasuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel.