Home / Hoki / UniKL juarai Piala Sumbangsih TNB MHL 2020

UniKL juarai Piala Sumbangsih TNB MHL 2020

Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menewaskan pasukan hoki Terengganu (THT) 3-2 dalam pertembungan Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia TNB MHL sekaligus menjulangnya buat kali pertama.

Kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan terbuka namun jaringan yang dinantikan hanya tiba pada minit ke-10 apabila Muhammad Razie Abd Rahim memberikan gol pendahuluan buat UniKL hasil pukulan sudut penalti.

Foto : UniKL Hockey

THT memperolehi gol penyamaan menerusi pemain kebangsaan Faizal Saari pada minit ke-26 sebelum beliau sekali lagi menemui sentuhan jaringan hasil gol padang pada minit ke-36.

Kelebihan itu bagaimana pun tidak bertahan lama apabila UniKL mengikat kedudukan juga menerusi penjaring gol pertamanya Razie yang terus membuktikan ketajaman pukulan sudut penalti.

Foto : UniKL Hockey

Pemain import baru UniKL dari Belanda Roel Bovendeert muncul wira pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-50 yang memberikan kemenangan 3-2 memihak kepada UniKL.

Foto : UniKL Hockey

Kejayaan kelab dari lembah klang itu membolehkan mereka membalas dendam kekalahan tahun lalu selepas tewas 3-1 menerusi keputusan penalty shoot out dalam lawan yang sama TNB MHL.

Dalam pada itu, pertemuan dua pasukan adik-beradik menyaksikan TNB mengatasi tentangan TNB Thunderbolts dengan keputusan 3-1.

Manakala perlawanan di antara Maybank dan Hockademy KL terpaksa ditunda selama 30 minit akibat hujan lebat pada sebelah petang.
Hockademy terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sentuhan penyudah hasil gol padang Arif Sabron pada minit ke-24.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih mata penuh selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Kedah/Nurinsafi HT dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sungai Petani.