Home / Golf / Tun Ahmad Sarji dipilih sebagai Penaung Jelajah Asia

Tun Ahmad Sarji dipilih sebagai Penaung Jelajah Asia

Wakil Jelajah Asia, Irfan Hamid mengumumkan perlantikan Tun Ahmad Sarji sebagai Penaung Jelajah Asia. Gambar oleh Arep Kulal / EurAsia

Wakil Jelajah Asia, Irfan Hamid mengumumkan perlantikan Tun Ahmad Sarji sebagai Penaung Jelajah Asia. © EurAsia / Arep Kulal

KUALA LUMPUR 23 September 2016 : Tokoh Sukan Negara, YBhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, diumumkan sebagai Penaung Jelajah Asia (Asian Tour) dalam satu majlis ringkas bersempena perlancaran Buku Piala EurAsia 2016 di Kelab Golf Glenmarie hari ini.

Wakil Jelajah Asia, Irfan Hamid yang mewakili Pesuruhjaya Jelajah Asia, Kyi Hla Han, mengumumkan Tun Ahmad Sarji telah bersetuju menerima perlantikan sebagai Penaung Jelajah Asia.

Tun Ahmad Sarji, 78tahun, yang merupakan Pengerusi Jelajah PGM dan Tokoh Sukan Negara 2015, merupakan individu penting dalam menjayakan Kejohanan Golf Piala EurAsia, pertembungan di antara pasukan Eropah dan Asia pada tahun 2014 dan 2016.

Dianggap sebagai Tokoh Pembangunan Golf di Malaysia, Tun Ahmad Sarji merencanakan idea beliau untuk menubuhkan Professional Golf Malaysia Sdn Bhd, sebuah entiti untuk menguruskan perjalanan Jelajah PGM pada tahun 2010. Hasilnya, Jelajah PGM diiktiraf sebagai antara Kejohanan Jelajah Golf yang paling cepat berkembang di rantau Asia dengan penyertaan kejohanannya membabitkan gabungan usahasama dengan Jelajah Pembangunan Asia.

Dalam teks ucapannya, Kyi Hla Han berkata Jelajah Asia amat berbangga apabila Tun Ahmad Sarji bersetuju menerima perlantikan sebagai Penaung.

“Tun Ahmad Sarji telah memainkan peranan yang amat besar dalam menjayakan Kejohanan Golf Piala EurAsia dan pembangunan sukan golf di Malaysia telah berkembang selari dengan visi dan minat beliau yang mendalam dalam sukan golf. Kami yakin dengan perlantikan ini, Tun Ahmad Sarji akan berkongsi pengalaman dan visi beliau bagi pembangunan sukan golf di Asia”

“Corak kepimpinan beliau dalam arena sukan di Malaysia amat dihormati dan Lembaga Pengarah Jelajah Asia amat teruja apabila Tun Ahmad Sarji menyatakan persetujuannya untuk dilantik sebagai Penaung Jelajah Asia.”

Sementara itu Tun Ahmad Sarji dalam ucapannya selepas menerima watikah perlantikan sebagai Penaung Jelajah Asia berkata, beliau berharap beliau mampu menyumbang sesuatu buat pembangunan sukan golf di Asia.

Tun Ahmad Sarji melancarkan Buku Piala EurAsia 2016. © EurAsia Cup / Arep Kulal

Tun Ahmad Sarji melancarkan Buku Piala EurAsia 2016. © EurAsia Cup / Arep Kulal

“Saya amat berbesar hati dan berbangga Jelajah Asia telah menjemput saya untuk menjadi Penaung. Dengan perkembangan yang pesat dalam sukan golf profesional di rantau Asia, saya berharap dapat menyumbang sesuatu ke arah kebaikan sukan golf di rantau ini.

“Saya berhasrat untuk bersama-sama melibatkan diri dengan Lembaga Pengarah Jelajah Asia bagi membolehkan saya menawarkan pandangan saya supaya Jelajah Asia terus memacu ke hadapan seterusnya meningkatkan lagi taraf sukan golf di rantau Asia.

Terdahulu Tun Ahmad Sarji melancarkan Buku Piala EurAsia 2016 yang dihasilkan oleh majalah Golf Malaysia. Beliau kemudiannya menyampaikan naskhah buku itu kepada Ketua Pegawai Operasi DRB-HICOM, Dato ‘Mohamed Razeek Md Hussain dan wakil daripada Jelajah Asia dan EurAsia Golf Sdn Bhd.