Home / Hoki / TUJUH PASUKAN BAKAL MERIAHKAN LIGA HOKI MALAYSIA (LHM) MUSIM 2019

TUJUH PASUKAN BAKAL MERIAHKAN LIGA HOKI MALAYSIA (LHM) MUSIM 2019

KUALA LUMPUR : Saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) bagi musim 2019 bakal dimeriahkan dengan hanya penyertaan tujuh pasukan tatkala Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) turut membatalkan penyertaan sebuah pasukan dari utara tanahair.

Pengarah Jawatankuasa Pertandingan MHC, Brian Fernandez dalam sidang media mengesahkan bahawa pihaknya gagal mencapai sasaran awal 10 pasukan dan menitikberatkan soal kualiti pasukan yang bakal bertanding pada kali ini.

Tujuh pasukan berkenaan ada;ah juara bertahan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan UniKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB), UiTM, Nur Insafi dan TNB Thunderbolts.

“Memang di peringkat awal kita sasarkan penyertaan 10 pasukan tetapi hanya lapan pasukan yang menunjukkan minat. Namun pihak kami terpaksa menolak penyertaan satu pasukan kerana kualiti yang dimiliki pasukan itu tidak begitu memuaskan.

“Jawatankuasa Pertandingan MHC bermesyuarat dan merasakan pasukan yang dibentuk daripada pelajar-pelajar sekolah itu masih belum bersedia bagi memastikan taraf liga kita terus kekal unggul,” ujar Brian Fernandez ketika ditemui.

Ketujuh-tujuh pasukan terlebih dahulu bakal memulakan kempen merebut Piala Tan Sri P Alagendra bermula 3 Januari depan sebelum kempen sebenar liga bakal membuka tirai pada 11 Januari sehingga 2 Mac depan.