Home / Lain - Lain / Tour of Peninsular 2019 : Marcos Garcia Fernandez rampas jersi kuning

Tour of Peninsular 2019 : Marcos Garcia Fernandez rampas jersi kuning

Foto : Tour of Peninsular 2019

Perlumbaan basikal Tour of Peninsular memasuki peringkat terpenting iaitu laluan kategori Horse menuju ke puncak Cameron Highland.

Pasukan Kinan Cycling Team paling mencuri tumpuan apabila mengungguli kedudukan satu dua dengan Marcos Garcia Fernandez muncul pemenang pada laluan paling mencabar di penamat Tanah Rata.

Lebih sensasi Fernandez turut mencipta kelebihan sehingga 3 minit dan 2 saat berbanding pencabar terdekat Igor Shizan dari pasukan Beno bagi perebutan jersi kuning pendahulu keseluruhan berbaki satu peringkat lagi.

Dengan laluan 89.5km perlumbaan peringkat keempat ini paling mencabar yang lebih dikenali dengan Queen Stage menerusi penamat kategori Horse menerusi Tanah Rata Cameron Highland dilepaskan oleh wakil Menteri Besar Pahang Datuk Mustafa Long di Sungai Koyan.

Mata pecutan di dua zon pecut Pontiak dan Kg Leyar bakal ditempuhi pelumba sebelum memulakan pendakian ke Tanah Rata.

Tumpuan awal mestinya terarah kepada pelumba pasukan Terengganu Racing TSG Noor Amirull Fakharuddin Mazuki yang memenangi peringkat ketiga perlumbaan sebelum ini selain merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan.

Sebalik melepasi zon neutral sudah ada beberapa pelumba melakukan pecutan pecahan awal dan TSG menerusi pelumbanya Goh Sun Huat pantas menguasai kedua-dua zon pecutan untuk mengutip 10 mata.

Bermulanya pendakian beberapa lagi pecahan berlaku dengan empat pelumba membentuk kelompok pendahulu yang terdiri dari Marcos Garcia Fernandez, Thomas Lebas dan Purnomo Odie Setiawan.

Dengan Thomas Lebas memenangi kategori zon bukit 1 di Ringlet, giliran rakan sepasukan Fernandez membuat gerakan menuju penamat.

Jelas Fernandez tidak mampu dicabar apabila melakukan penamat solo di Tanah Rata untuk gelaran juara peringkat keempat perlumbaan.

Kejayaan ini turut menyaksikan dia berjaya merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan malah Fernandez dilihat berpeluang cerah untuk bergelar juara menerusi 3 minit dan 2 saat berbanding pencabar terdekat Igor Chzhan dari pasukan Vino Astana Motor.

Sementara TSG pastinya kecewa terlepas jersi kuning lebih perit turut kehilangan pelumba utama yang terpaksa menarik diri pada baki 20km terakhir berikutan masalah kesihatan yang dialaminya.

Peringkat terakhir perlumbaan membabitkan laluan sejauh 151.4 km bermula di Kuala Lipis menuju ke Setiawangsa.

Foto : Tour of Peninsular 2019