Home / Hoki / TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : TNB KUKUHKAN KEDUDUKAN MENERAJUI LIGA

TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : TNB KUKUHKAN KEDUDUKAN MENERAJUI LIGA

Pasukan hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuhkan kedudukan selaku peneraju liga selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 4-2.

Ini membolehkan TNB mengekalkan rekod 5 perlawanan tanpa kalah untuk mengutip 15 mata maksima.

Aksi minggu kelima liga hoki ini berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan TNB agak goyang diawal permainan apabila THT terdahulu dihadapan 1-0 hasil gol padang Faizal Saari minit ke-16.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama selepas Syed Mohd Syafiq Syed Cholan mengikat kedudukan 1-1 sepuluh minit berselang menerusi gol sudut penalti.

Bersambung babak kedua menyaksikan TNB menambahkan jaringan menjadikan kedudukan 2-1 mengatasi THT pada minit ke-38.

Ini disusuli dengan jaringan padang Mohd Azrai Azad pada minit ke-49 untuk meletakkan TNB selesa di depan dengan kedudukan 3-1.

Tidak cukup dengan itu TNB terus menggandakan asakan dan menghasilkan gol keempat sebelum Faizal Saari memperolehi gol sagu hati buat THT pada suku akhir perlawanan.

Kekalahan ini menyaksikan THT jatuh satu anak tangga untuk menghuni tangga keempat liga setelah mencatatkan dua kekalahan dari lima perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan Maybank menang tipis keatas pasukan TNB Thunderbolts.

Maybank tidak menunggu lama untuk membuka jaringan pada minit ke-2 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Haziq Shamsul.

TNB kemudian menyamakan kedudukan menerusi gol padang Faiz Nazwan Azah pada minit ke-32.

Namun cuma berselang 4 minit Maybank kembali di depan sekali lagi menerusi ketajaman Haziq susulan pukulan sudut penalti.

Johan Samuel Van Husen kemudian melebarkan kedudukan 3-1 pada minit ke-48 juga menerusi pukulan sudut penalti.

Meskipun jaringan pukulan sudut Fahmi Khalid membolehkan TNB Thunderbolts merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-52 ia masih gagal menukar keputusan penuh 3-2 yang memihak kepada Maybank.