Home / Hoki / TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : RANGKUMAN PERLAWANAN KEDUA

TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : RANGKUMAN PERLAWANAN KEDUA

Empat perlawanan berlangsung semalam menyaksikan tiga pasukan berjaya mencatat kemenangan berturut-turut.

Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menambah tiga lagi mata selepas cemerlang menewaskan lawan masing-masing.

Sementara pasukan hoki Terengganu (THT) merakam kemenangan pertama selepas membelasah TNB Thunderbolts 5-0.

Pasukan hoki Terengganu (THT) turun ibarat harimau terluka selepas tewas dalam penampilan sulung Jumaat lalu.

Berdepan TNB Thunderbolts skuad bimbingan Mohd Dharma Raj Abdullah membuka tirai jaringan menerusi gol pukulan sudut penalti Jung Jong Hyun minit ke-8.

13 minit kemudian gawang lawan sekali lagi dibolos menerusi gerakan serupa juga disempurnakan oleh Jong Hyun.

Kedudukan berubah 6 minit sebelum suku kedua tamat apabila Jong Hyun sekali lagi menyerlahkan kehandalannya untuk melengkapkan hatrik.

Thunderbolt nyata sukar menyaingi THT yang berada di kelas yang berbeza menyebabkan aksi berpihak kepada lawan.

Ketajaman pukulan sudut penalti sekali lagi menjadi pemisah kedua-dua pasukan menyaksikan giliran Faizal Shaari mencatat nama selaku penjaring dengan ledakan gol keempat permainan.

THT melengkapkan kemenangan pertama dengan 5-0 apabila Mohd Adib Suffian Rusli menjaringkan gol padang pada minit terakhir perlawanan.

Sementara itu juara piala sumbangsih Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mendaki tangga ketiga selepas menewaskan pendatang baru Hokidemi Kuala Lumpur 3-1.

Tiada gol mampu dihadirkan kedua-dua pasukan sepanjang suku pertama. UniKL akhirnya memecah kebuntuan gol.

Sebalik bersambung suku kedua menerusi dua gol pantas yang disumbangkan pakar sudut penalti kebangsaan Mohd Razie Rahim pada minit ke-16 dan pemain import Roel Bovendeert pada minit ke-18.

Masuk suku ketiga UniKL tambah selesa apabila Izuan Firdaus Ahmad Tajuddin menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-38.

Namun ketika UniKL garang mengasak Razali Yahya berjaya menyumbat gol saguhati Hokidemi 4 minit sebelum tamat masa permainan.

Lain-lain keputusan perlawanan kedua ialah Nurinsafi tewas kepada TNB 1-6 manakala Maybank menewaskan UiTM 4-1.