Home / Hoki / TNB-LHM 2020: UNIKL PERTAHAN GELARAN LIGA, MAYBANK SAHKAN TEMPAT KE SAINGAN PIALA TNB

TNB-LHM 2020: UNIKL PERTAHAN GELARAN LIGA, MAYBANK SAHKAN TEMPAT KE SAINGAN PIALA TNB

UniKL mempertahankan kejuaraan TNB-LHM 2020 selepas meraih kemenangan ke-12 berturut-turut dengan mengatasi Kedah/Nurinsafi HT 9-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi pada Rabu.

Tuan rumah tidak perlu menunggu lama apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang ketua pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-3.

Kredit : UniKL Hockey Page

UniKL kemudian menggandakan pendahuluan apabila Tengku Ahmad Tajuddin temui sentuhan penyudah pada minit ke-13 untuk kedudukan 2-0 buat tuan rumah.

Dua jaringan dalam tempoh dua minit selepas itu menerusi Muhammad Razie Abd Rahim serta Roel Bovendeert terus meletakkan UniKL di kedudukan selesa dengan mendahului 4-0.

Kredit : UniKL Hockey Page

Pelawat membalas menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Ismail Abu namun UniKL terus gah apabila Bovendeert peroleh jaringan peribadi keduanya pada minit ke-29.

Dua lagi jaringan oleh Razie dalam tempoh dua minit terus meletakkan UniKL selesa di hadapan dalam suku ketiga.

Kredit : UniKL Hockey Page

Jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-46 memastikan kemenangan besar memihak kepada tuan rumah serta mengesahkan kejuaraan liga untuk musim kedua berturut-turut.

“Saya gembira sasaran pertama kami tercapai iaitu pertahankan gelaran liga, jika menang kesemua perlawanan itu merupakan satu bonus buat kami dan sasaran seterusnya sudah pasti menjadi juara keseluruhan.

Kredit : UniKL Hockey Page

“Kami bermain tanpa tekanan hari ini walaupun ketiadaan Tim Deavin serta Najmi Farizal dan sememangnya bersedia hadapi Nurinsafi,” jelas pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Perlawanan tumpuan sudah pasti pertemuan antara Terengganu Hockey Team (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

TNB yang memerlukan kemenangan tidak mampu mengatasi lawan apabila terpaksa tunduk dengan kekalahan 0-1 kepada THT.

Jaringan Jang Jong Hyun pada minit ke-21 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan untuk THT raih mata penuh dan merapatkan jurang dengan TNB dalam kedudukan liga.

“Perlawanan ini ibarat aksi kalah mati buat kami, kami perlukan tiga mata penuh andai ingin kekal peluang memintas TNB bagi kedudukan kedua liga.

“Jaringan Jong Hyun beri kelebihan buat kami bermain secara taktikal, sekaligus mengecewakan lawan,” ujar jurulatih THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Manakala Maybank sekali lagi terpaksa pamerkan kebangkitan apabila mengikat TNB Thunderbolts dengan keputusan 2-2 dalam pertemuan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Tempat ke saingan Piala TNB menjadi tumpuan utama buat Maybank yang ketika ini duduki tangga keempat liga dan mengharapkan tiga mata penuh untuk terus kukuhkan kedudukan.

Kebuntuan jaringan terlerai pada minit ke-26 apabila Muhammad Muhibuddin Moharam menyempurnakan peluang daripada jaringan padang bagi meletakkan Thunderbolts di hadapan.

Thunderbolts kemudian menambah satu lagi jaringan, sekali lagi menerusi Muhibuddin yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Amirullah Zainol memperoleh jaringan pada minit ke-38 bagi membantu Maybank kebangkitan pasukannya sebelum Muhammad Syamim Naim Abd Hamid menjadi penyelamat dengan gol penyamaan pada minit ke-53 untuk keputusan akhir 2-2.

Menurut jurulatih Thunderbolts, Nor Azlan Bakar, “Pemain kami masih kurang pengalaman dan itu terserlah apabila memberikan ruang buat Maybank pamerkan kebangkitan, ini satu pengajaran yang baik buat mereka walaupun pamerkan aksi yang baik hari ini.”

Di sebalik keputusan ini, Maybank mengesahkan tempat ke saingan Piala TNB susulan keputusan seri 2-2 yang dicatat oleh UiTM dalam pertemuan menentang Hockademy KL.

Jaringan padang oleh Danial Asyraf Abdul memberikan pendahuluan buat UiTM pada minit ke-3 sebelum Miyu Tanitmitsu menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-26 meletakkan UiTM selesa mendahului.

Begitupun Hockademy membalas menerusi dua gol dalam tempoh seminit menerusi jaringan padang Arif Sabron serta Ali Rizwan yang sempurnakan pukulan sudut penalti.