Home / Hoki / TNB LHM 2019: UniKL Tamatkan Penantian Kejuaraan Liga

TNB LHM 2019: UniKL Tamatkan Penantian Kejuaraan Liga

Foto : Jeffrizal Abu Jaapar | Sukan Malaysia / MHL

KUALA LUMPUR (20 FEBRUARI 2019) : Penantian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk muncul selaku juara TNB Liga Hoki Malaysia saingan Liga Perdana selama sembilan edisi berakhir apabila edisi 2019 mengangkat mereka selaku juara selepas menewaskan Maybank 2-1 pada perlawanan ke-11 yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Tunku Abdullah, Bangi.

UniKL secara rasminya memegang gelaran juara selepas 11 perlawanan, dengan merekodkan 10 kemenangan dan satu seri serta mengumpul keseluruhan 31 mata masih mempunyai satu perlawanan berbaki di mana aksi pelengkap liga itu akan menemukan mereka dengan TNB Thunderbolts pada Jumaat ini, selain UniKL juga telah meninggalkan seteru utama mereka, Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kedudukan kedua yang mengumpul 27 mata selepas 11 perlawanan.

Maybank mengejutkan UniKL yang memiliki empat kelebihan pukulan sudut penalti pada suku pertama dengan meledak gol padang hasil gerakan antara Muhammad Hafiizhuddin Zaidi dan Mohamad Zulhamizan Awang Abas seawal minit keempat untuk aksi suku pertama meletakkan Maybank dihadapan 1-0.

Gol yang dicari-cari UniKL akhirnya muncul pada empat minit terakhir suku kedua di mana dua gol berturut-turut dihasilkan mereka bermula dengan jairngan Rafizul Ezry Mustafa yang bijak menyambut bola tolakkan Kieran Ian Govers pada minit ke-26 dan Valentin Verga terus meletakkan UniKL di hadapan dua minit kemudian juga menerusi gol padang menyaksikan kedudukan 2-1 kekal menuju kebilik persalinan.

Minit ke-39, Amirrullah Zainol hampir menjaringkan gol penyamaan buat Maybank namun percubannya di hadapan pintu gol terkenal palang dan minit ke-41 giliran UniKL untuk terus melebarkan sayap kedudukan menerusi pukulan sudut penalti keenam namun flik terus yang dilakukan Muhammad Razie Rahim tersasar ke sebelah kiri pintu gol Maybank.

UniKL dilihat terus menggandakan asakan pada suku terakhir perlawanan dan hampir mendapatkan gol ketiga menerusi aksi satu lawan satu antara Faridzul Afiq Mohd dan penjaga gol Maybank, Muhamad Zaimi Mat Deris namun tindakan cemerlang Zaimi menidakkan peluang Faridzul Afiq untuk menjaringkan gol.

Keputusan 2-1 yang kekal sehingga tamat perlawanan cukup untuk menjulang UniKL selaku juara liga buat pertama kali dalam sejarah penglibatan mereka di TNB Liga Hoki Malaysia, saingan Liga Perdana dan pengendali UniKL, Arul Selvaraj nyata gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya selain mendedikasikan kejayaan yang diraih mereka buat semua individu yang telah berusaha keras menggerakkan pasukan tersebut sehingga hari ini.

“Sudah tentu kami gembira dengan kemenangan hari ini dan kemenangan ini juga membolehkan kami untuk muncul selaku juara liga selepas sekian lama menanti dan kejayaan muncul selaku juara liga juga didedikasikan buat semua yang telah berkerja keras untuk menggerakkan pasukan hoki UniKL.

“Perlawanan hari ini saya telah menjangkakan Maybank akan memberikan tentangan yang hebat dan mereka bermain dengan baik dari segi bertahan serta melakukan serangan balas selain itu saya berasa

sedikit kecewa kerana kami memiliki kelebihan pukulan sudut penalti tetapi tidak menjaringkan gol daripada kelebihan tersebut.

“Kami akan turun bertemu TNB Thunderbolts untuk aksi terakhir dan akan bermain seperti biasa kerana perlawanan tersebut kami gunakan sebagai persediaan menjelang separuh akhir Piala TNB.

“Saya juga akan menilai kembali tahap kecederaan pemain dan jika ada pemain yang perlu direhatkan, saya akan merehatkan mereka pada aksi terakhir liga,” jelas Arul yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu aksi antara Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk Kuala Terengganu menyaksikan THT tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 4-2 keatas lawan mereka.

Empat gol THT diledak bermula minit ketujuh apabila Mohamad Shazwi Rani membuka tirai jaringan menerusi gol padang, diikuti gol pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-45 dan dua pemain import mereka, Gonzalo Merino dan Jung Manjae turut muncul selaku penjaring masing-masing menerusi gerakan padang pada minit ke-54 dan ke-60.

UITM pula berjaya mencuri dua gol pada pertemuan tersebut selepas Mohd Azwar Abd Rahman menjaringkan gol padang pada minit ke-14 dan Muhammad Haikal Abd Muthalib turut mencatat nama selaku penjaring apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-59.

Satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM) antara Nurinsafi/Kedah Hockey dan TNB Thunderbolts menyaksikan perlawanan terpaksa ditangguhkan lebih satu jam ekoran hujan lebat dan selepas pertemuan tersebut kembali berlangsung tuan rumah, Nurinsafi/Kedah Hockey berjaya untuk meraih kemenangan menewaskan TNB Thunderbolts, 1-0.

Aksi terakhir Liga Perdana akan berlangsung pada Jumaat, 22 Februari 2019 jam 5.00 petang di mana TNB akan bertemu THT di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur sementara UniKL akan melengkapkan perlawanan bertemu TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Tengku Abdullah dan UITM akan bertemu Maybank di Stadium Hoki UITM, Shah Alam.