Home / Hoki / Tamatnya kempen Kejohanan Hoki Piala Dunia buat Malaysia

Tamatnya kempen Kejohanan Hoki Piala Dunia buat Malaysia

Jurulatih skuad Malaysia, Roelant Oltmans. Gambar oleh Jeffrizal Abu / SM International

BHUBANESWAR, INDIA : Keputusan seri yang diidamkan oleh Malaysia bertemu dengan Jerman tidak kesampaian apabila tewas kepada Jerman dengan keputusan 3-5 dalam perlawanan terakhir. Kekalahan ini seterusnya menutup terus peluang skuad hoki negara untuk mengintai pintu ke pusingan seterusnya.

Malaysia mempamerkan aksi yang mengagumkan menerusi beberapa siri corak serangan mendebarkan di awal suku pertama dan kedua namun berjaya diserap Jerman.

Bereputasi sebagai salah satu pasukan yang digeruni di peringkat dunia, Jerman mendahului Malaysia agak selesa dengan jaringan 3-0 menerusi pukulan sudut penalti Timm Herzbruch pada minit ke-2, dan juga menerusi jaringan padang penyerang berbisanya iaitu Christopher Ruhr pada minit ke-14 dan 18 perlawanan.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-26 disusuli dengan jaringan pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, menjaringkan gol kedua buat Malaysia selang dua minit selepas itu.

Selepas rehat, Jerman kembali melebarkan kedudukan menerusi gol padang penyerangnya Marco Miltkau pada minit ke-39.

Malaysia yang dihadiahkan lapan pukulan sudut penalti, sekali lagi merapatkan kedudukan menerusi Razie pada minit ke-42. Namun, Jerman mengesahkan kemenangan hasil serangan balas pantas Herzbruch juga menerusi gol padang, seminit sebelum siren penamat dibunyikan.

Secara rangkumannya, Malaysia menamatkan aksi kempen Hoki Piala Dunia Kumpulan D dengan satu keputusan seri dan dua kekalahan.