Home / Lain - Lain / SUKMA JOHOR 2020 DIANJAKKAN KE 2021

SUKMA JOHOR 2020 DIANJAKKAN KE 2021

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia hari ini telah mencapai kata sepakat memutuskan tarikh baharu bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA Johor 2020).

Temasya edisi ke-20 itu akan pada 6 hingga 14 Mac 2021 sementara Para Sukma Johor pula dilangsungkan pada 5 hingga 10 April 2021.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengumumkan tarikh baharu itu turut memutuskan untuk mengekalkan nama Sukma Johor 2020 dan Para Sukma Johor 2020 sekalipun temasya dianjakkan ke tahun hadapan.

Ekoran tarikh baharu itu mesyuarat dalam talian yang disertai oleh semua ahli jawatankuasa tertinggi Sukma yang terdiri dari wakil semua negeri, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) serta Sekretariat Sukan Malaysia Johor turut bersetuju melakukan beberapa tambahan pindaan teknikal terhadap peraturan am khusus buat Sukma 2020.

Antara tambahan itu adalah atlet yang telah didaftarkan dalam senarai awal iaitu sebelum 9 Januari 2020 dibenarkan mengambil bahagian di Sukma Johor 2020 walaupun melebihi had umur seperti yang ditetapkan.

Sekiranya melibatkan kes kecederaan dan tidak mendapat pelepasan majikan mahu pun institusi pengajian, pertukaran atlet untuk senarai panjang boleh dilakukan sehingga 30 Jun 2020.

Dari segi pindaan pula, borang-borang yang lengkap dengan nama atlet dan acara dalam senarai pendek hendaklah dikemukakan oleh kontinjen kepada sekretariat Sukma Johor 2020 tidak lewat dari 31 Disember 2020.

Mesyuarat pertindihan atlet akan diadakan pada 18 Januari 2021 serta mesyuarat pendaftaran delegasi akan diadakan pada 24 dan 25 Februari 2021.

Sekiranya tarikh baharu ini kekal seperti yang dirancangkan, tuan rumah Johor pastinya lega apabila mempunyai masa untuk kembali menyiapkan venue venue pertandingan selepas negara dilanda wabak Covid-19.