Home / Lain - Lain / SUKAN SEA FILIPINA 2019 : WUSYU SUMBANG PINGAT EMAS PERTAMA NEGARA

SUKAN SEA FILIPINA 2019 : WUSYU SUMBANG PINGAT EMAS PERTAMA NEGARA

Atlet wusyu negara Loh Choon How menjadi penyumbang pingat emas pertama kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2019 selepas mendominasi acara taijiquan di Pusat Dagangan di Manila hari ini.

Emas dimenangi atlet berusia 26 tahun itu juga adalah pingat pertama buat Malaysia pada temasya kali ini.

Aksi memukau Choon How berjaya memikat juri apabila dia berjaya mengutip mata tertinggi 9.68 sekaligus mengatasi atlet Brunei Wong Zeng Yu dengan catatan 9.59 mata untuk meraih perak. Pingat gangsa pula milik atlet tuan rumah Filipina Daniel Parantak dengan catatan 9.56 mata.

Kontinjen negara turut meraih dua lagi kilauan pingat pagi ini. Rakan sepasukan Loh Choon How, iaitu Wong Weng Son menang pingat perak dalam acara Taolu Changquan Lelaki yang hanya dipisahkan 0.20 mata daripada pemenang emas Yong Yi Xiang dari Singapura dengan 9.700 mata.

Pingat ketiga Malaysia hari ini ialah gangsa yang disumbangkan skuad Floorball wanita yang menewaskan pasukan tuan rumah Filipina dengan keputusan 1-0 menerusi permainan masa tambahan dalam aksi penentuan ketiga dan keempat.