Home / Lain - Lain / Sukan SEA Filipina 2019 : Tiada lagi perubahan acara

Sukan SEA Filipina 2019 : Tiada lagi perubahan acara

Penganjur Sukan SEA Filipina 2019 dilihat hampir pasti tidak lagi akan mengubah acara yang akan dipertandingkan.

Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara, turut menegaskan setiap persatuan sukan hanya boleh menanti keputusan muktamad berhubung rayuan mereka sehingga awal bulan depan walaupun pada awalnya sudah memberi bayangan tiada jaminan untuk penganjur menambah acara lain.

Sehubungan itu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa persatuan sukan kebangsaan tidak terlalu mengharapkan apa-apa dan mula fokus mempersiapkan pasukan.

Persatuan sukan kebangsaan perlu melupakan hasrat untuk menyaksikan lebih banyak acara dimasukkan ke dalam Sukan SEA 2019 kerana Jawatankuasa Penganjur daripada Filipina, PHISGOC, tampak sudah muktamad dengan jumlah yang ditetapkan sebelum ini.

Sementara itu menurut pengajur setiap persatuan sukan perlu menanti keputusan muktamad berhubung rayuan mereka sehingga awal bulan depan.

Masih terdapat persatuan sukan seperti Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang berharap acara platform disenaraikan selepas hanya empat acara papan anjal dipertandingkan.

ASUM tetap dengan pendirian untuk merayu bagi penambahan acara platform yang turut menjadi acara utama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dilihat lebih terbuka dalam menerima lima kategori bagi silat olahraga tanpa membabitkan juara dunia, Mohd Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Md Nasir, bagi kelas E Putera dan Puteri.