Home / Lain - Lain / SUKAN SEA FILIPINA 2019 : MALAYSIA KUTIP 4 EMAS, 1 PERAK DAN 2 GANGSA PADA HARI PERTAMA

SUKAN SEA FILIPINA 2019 : MALAYSIA KUTIP 4 EMAS, 1 PERAK DAN 2 GANGSA PADA HARI PERTAMA

Kontinjen negara memulakan hari pertama saingan rasmi temasya Sukan SEA 2019 dengan langkah kanan apabila berjaya mengutip 4 pingat emas, 1 perak dan 2 gangsa.

4 pingat emas diperoleh menerusi acara wusyu, polo berkuda, sukan tarian breakdance dan luncur ais freeskate membolehkan Malaysia kini berada di kedudukan ketiga dalam carta senarai pingat kontinjen bertanding ketika ini.

Apa pun tumpuan utama pastinya terarah kepada penyumbang pingat emas sulung negara bagi edisi ke-30 Sukan SEA yang diraih atlet wusyu lelaki Loh Chun How dalam acara Taijikuan.

Beraksi di Pusat Dagangan Metro Manila Choon How pada mulanya tidak diletakkan sebagai sandaran untuk memenangi pingat emas ketika hanya 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa menjadi buruan Persekutuan Wusyu Malaysia.

Choon How anak kelahiran Kuala Lumpur berjaya memikat juri sepanjang memperagakan kemahirannya sekaligus mencipta kejutan meraih mata tertinggi dengan 9.68 mata untuk mengatasi atlet Brunei dan Filipina.

Untuk rekod ini penampilan ketiga Choon How di pentas Sukan SEA selepas menyertai temasya dwitahunan itu di Myanmar pada 2013 dan Singapura pada 2015.

Menambah kemeriahan tuaian emas negara, emas keempat diraih atlet luncur ais Julian Yee dalam acara Freeskating Lelaki Senior sekaligus mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi dua tahun lalu di arena sendiri.

Meskipun beraksi di hadapan penyokong Filipina,Julian nyata berada dalam kelas yang tersendiri apabila setiap gerakannya mendapat sambutan dan tepukan gemuruh dari penonton..

Mengguanakan ketiga-tiga lagu rancak Julian turut berjaya menambat hati juri sekaligus mengutip 202.6 mata untuk memenangi pingat emas jauh meninggalkan atlet tuan rumah Christopher Kaluza yang mencatat 180.2 mata untuk perak dan atlet Thailand dengan 174.0 mata.

Apa yang menarik kejayaan ini juga menyaksikan Julian mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017.

Selepas ini Julian dilapor akan berehat panjang dan akan kembali berlatih tahun hadapan.

Selepas kejayaan atlet wusyu, kontinjen Malaysia terus ceria dengan tambahan dua lagi pingat emas.Sam Jee Lek menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia selepas mengungguli acara Breakdance lelaki.

Daripada lima peserta yang mengambil bahagian, Jee Lek atau lebih dikenali sebagai Lego Sam berjaya mengatasi kesemua empat pencabar lain untuk mengumpul 12 mata penuh sekaligus memastikan emas kedua Malaysia dari sukan tarian.

Sementara itu dari Padang Polo Indigozobel, skuad Polo negara berjaya mempertahankan pingat emas.

Berdepan pasukan tuan rumah dalam penentuan pingat, Malaysia yang diketuai kapten Amran Selamat berjaya mencatatkan kemenangan 7-5.5 melengkapkan kutipan empat emas buat kontinjen Malaysia setakat ini.

Dalam pada itu 2 pingat gangsa turut diraih kontinjen Malaysia menerusi acara Floorball lelaki dan wanita.

Skuad wanita menundukkan tuan rumah Filipina menerusi jaringan golden goal manakala pasukan lelaki tidak berhadapan masalah menamatkan cabaran dari negara yang sama dengan mencatatkan kemenangan 7-4.