Home / Lain - Lain / SKUAD PELAYARAN TETAP FOKUS KEPADA SESI LATIHAN

SKUAD PELAYARAN TETAP FOKUS KEPADA SESI LATIHAN

Jadual sibuk mula diharungi kem pelayaran negara yang diisi pelbagai sesi latihan di laut mahupun di darat sebaik saja latihan pusat Road To Tokyo (RTT) bermula Isnin lalu.

Dua pelayar muda Noraisyah Jamil dan Juni Karimah Nur Jamali mahu memberi tumpuan kepada program yang diatur terlebih dahulu dan enggan terburu-buru memikirkan soal status sebenar Sukan Olimpik tahun hadapan.

Noraisyah Jamil dan Juni Karimah akan bergandingan dalam kategori International 470.

” Kami akan berlatih dan berusaha keras bagi program RTT dengan menitikberatkan kesihatan buat masa sekarang”, ujar Noraisyah.

Sebarang keputusan yang bakal diputuskan kelak ianya tidak mahu dianggap sebagai bebanan tetapi motivasi kepada mereka.

Semua atlet diharap fokus dan memberi tumpuan penuh kepada program latihan yang diadakan di laut berselang seli dengan sesi fizikal dan kelas motivasi.

Pasukan pelayaran negara akan diwakili Noraisyah (23 tahun) dan Juni (18 tahun) bersama Khairulnizam Mohd Afendi dan Norsyazrin Mohd Latiff yang terlebih dahulu melayakkan diri bagi kategori Laser Standard dan Laser Radial.

Malaysia tidak pernah gagal melayakkan diri di temasya terbesar dunia itu sejak 1996.