Home / Badminton / SKUAD BADMINTON LELAKI DAN WANITA NEGARA LAYAK SECARA MERIT KE PIALA THOMAS DAN UBER

SKUAD BADMINTON LELAKI DAN WANITA NEGARA LAYAK SECARA MERIT KE PIALA THOMAS DAN UBER

Skuad badminton lelaki dan wanita negara cemerlang pada Kejohanan Berpasukan Asia di Manila.

Kedua-duanya berjaya mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan skuad lelaki cemerlang menundukkan Korea Selatan 3-0 sementara skuad wanita menyingkirkan Chinese Taipei 3-1.

Kejayaan ini juga membolehkan skuad lelaki dan wanita layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Denmark Mei depan selaku empat pasukan terbaik di benua Asia.

Skuad lelaki perlu lebih fokus kerana lawan di peringkat separuh akhir sama ada Jepun atau Chinese Taipei yang diakui memikili barisan pemain yang lebih mantap berbanding lawan sebelum ini.

Dalam aksi berpasukan lelaki barisan lelaki seperti diramal mampu menjinakkan Korea Selatan dengan Lee Zii Jia yang turun sebagai perseorangan pertama ternyata sukar dicabar lawannya Heo Kwang Hee apabila menampilkan permainan mantap.

Zii Jia menang set pertama 21-9 dan 21-14 dalam set kedua kedua bagi memberikan mata pertama negara mendahului Korea Selatan.

Seterusnya giliran beregu utama Aaron Chia / Soh Wooi Yik beraksi menentang Choi Solgyu / Kim Won Ho yang agak sengit pada set pertama dengan kemenangan memihak wakil negara 21-19.

Aaron Chia / Soh Wooi Yik menokhtahkan kemenangan menerusi kejayaan di set kedua dengan mata 21-14 bagi membolehkan Malaysia mendahului 2-0.

Penampilan perseorangan kedua Cheam Jun Wei bagaimanapun menghadirkan sedikit kegusaran buat kem negara apabila lawannya Son Wan Ho nampak sukar dijinakkan.

Kejar-mengejar mata pada set pertama serta kebangkitan saat akhir membolehkan Jun Wei menang 21-18.

Namun Jun Wei terpaksa akur kehebatan Wan Ho pada set kedua dimana dia tewas mudah 9-21.

Di set ketiga Jun Wei kembali fokus untuk menguasai perlawanan untuk mencatatkan kemenangan 21-14 sekaligus memberikan mata kemenangan buat Malaysia.