Home / Bola Sepak / Skuad B19 kenduri gol atasi Kepulauan Mariana Utara

Skuad B19 kenduri gol atasi Kepulauan Mariana Utara

Skuad negara berpesta gol buat kali kedua berturut-turut selepas membelasah Kepulauan Mariana Utara 10-0 pada aksi ketiga kumpulan G kelayakan kejuaraan B19 Konfedarasi Bola Sepak (AFC) 2020 di Kemboja.

Kejayaan itu hadir dua hari selepas kejayaan anak buah Brad Maloney itu membenam Brunei 11-0 pada aksi kedua selepas mereka mengekalkan rekod bersih memenangi kesemua tiga perlawanan setakat ini.

Kenduri gol sudah dapat dijangkakan selepas penguasaan awal anak buah Maloney yang menyaksikan mereka mendahului dua gol hanya selepas 10 minit perlawanan berlangsung menerusi Aiman Afif dan Azim Abu Zaid.

Malaysia terus memburu gol tambahan dan Aidil Azwan memberikan gol ketiga pada minit ke-20 sebelum Fahmi Daniel memastikan Malaysia menuju ke masa rehat dengan lebih selesa apabila menjaringkan gol keempat di penghujung babak pertama.

Memasuki babak kedua Malaysia teru menekan kubu lawan apabila Aiman meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-46, 74 dan 79 untuk dia menghimpun empat gol perlawanan ini.

Sementara tiga lagi jaringan dihasilkan Fahmi, Firdaus Ramli dan Azrul Haikal.

Ahad ini mereka akan membuat perhitungan dengan Thailand dan ketika Thailand dijangka tidak menghadapi masalah berhadapan Kemboja pertembungan terbabit bakal menentukan juara kumpulan yang akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.