SHAH ALAM 13 Disember 2015 : Pasukan Selangor Darul Ehsan menjuarai Piala Malaysia 2015 selepas menewaskan Kedah, 2-0, pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ahmad Hazwan Bakri menjaringkan dua gol pada setiap awal babak untuk memastikan Selangor merangkul piala keramat itu setelah hampir 10 tahun menunggu dan seterusnya melaksanakan Misi 33 mereka yang dicanangkan sejak tahun 2008 yang lalu.
Lebih manis, kejayaan Selangor pada malam tadi membalas dendam mereka kepada pasukan Kedah, pasukan yang mengalahkan mereka 2-3 dalam aksi terakhir mereka di pentas final Piala Malaysia pada tahun 2008. Ia juga menjadikan jurulatih pasukan Selangor, Mehmet Durakovic, menjadi individu pertama bukan warganegara Malaysia yang berjaya menjulang Piala Malaysia sebagai pemain dan jurulatih.
Kejayaan Selangor juga meranapkan impian pasukan Kedah untuk mengikuti jejak pasukan Selangor yang berjaya merangkul trofi Liga Perdana Piala Malaysia dalam satu musim.
Walaupun bermula dengan perlahan disebabkan padang basah, Selangor tidak menunggu lama apabila melakukan gerakan pantas melalui penyerang mereka De Paula untuk mengumpan bola kepada Hazwan yang meluru di sebelah kanan untuk masuk ke dalam kawasan penalti dan menyungkit bola menggunakan kaki kiri untuk menewaskan Firdaus yang meluru keluar sehingga menggamatkan stadium yang dipenuhi kira-kira 80,000 penonton.
Kedah terus berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi hanya berjaya membuat percubaan tepat pertamanya pada minit kedua masa kecederaan apabila pemain pertahanan kanan Mohd. Rizal Ghazali melepaskan rembatan dari hujung kotak penalti tetapi ditepis melepasi palang oleh Norazlan Razali untuk memastikan Red Giants memasuki bilik persalinan dengan kelebihan.
Kedah sekali lagi terperangkap dengan serangan balas Selangor apabila permainan bermula pada babak kedua apabila De Paula sekali lagi melorongkan bola ke sebelah kiri untuk Ahmad Hazwan membuat sepakan dari hujung kotak penalti ke penjuru kiri gawang Firdaus yang keluar dari posisi untuk gol kedua perlawanan.

Pemain Selangor, Mohd Nazmi Faiz meraikan kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia. Gambar oleh Azhari Yusop
Mendahului dengan selesa, Selangor kemudian lebih banyak bertahan dan mengawal permainan dan usaha dan displin yang tinggi dikalangan pemain-pemain mereka akhirnya berjaya sehingga ke wisel penamat.
Dari Meja Editor Sukan Malaysia, TAHNIAH buat Pasukan Selangor ! Misi 33 tercapai sudah !