Home / Bola Sepak / Selamat Tinggal JDT, Tahniah Felda, Selangor, Pahang & Kedah !

Selamat Tinggal JDT, Tahniah Felda, Selangor, Pahang & Kedah !

Pemain Felda United meraikan kejayaan mereka menewaskan JDT dan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. Gambar oleh Azhari Yusop

Pemain Felda United meraikan kejayaan mereka menewaskan JDT dan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. Gambar oleh Azhari Yusop

Johor Bahru, 29 November 2015 : Juara Piala AFC, Johor Darul Takzim (JDT) dipaksa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia oleh Felda United dalam pertembungan suku akhir Piala Malaysia pusingan kedua yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunos, Larkin, yang berkesudahan Felda United berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir apabila berjaya menewaskan JDT dengan agregat 3-2.

Berbekalkan agregat 1-1 selepas perlawanan suku akhir pusingan pertama di Stadium Selayang, segala-galanya nampak milik JDT dengan kelebihan bermain di tempat sendiri apatah lagi gah dengan rekod tanpa kalah sebanyak 40 perlawanan di stadium keramat mereka. Namun Felda United yang terkenal dengan watak sebagai ‘pengacau’ tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit kedua menerusi sepakan penalti Tiago Augosto Fernandes, apabila Felda United dianugerahkan sepakan penalti berpunca dari kesilapan Haris Harun dalam perebutan bola di udara.

Tersentak dengan gol awal, JDT terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan namun agak sukar apabila barisan pemain Ifran Bakti kebal mengamalkan corak bertahan.

Pemain JDT, Safee Sali melancarkan serangan ke arah pintu gol Felda United. Gambar oleh Azhari Yusop

Pemain JDT, Safee Sali melancarkan serangan ke arah pintu gol Felda United. Gambar oleh Azhari Yusop

Percaturan jurulatih JDT, Mario Gomez melakukan rombakan pada babak kedua membuahkan hasil apabila pada minit ke-50,  S Chanthuru berjaya memecah benteng pertahanan Felda United dan melorongkan bola kepada Safiq untuk merembat masuk menewaskan Farizal Harun seterusnya menyamakan kedudukan.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Tiago sekali lagi memainkan peranan penting dengan berjaya merampas bola dari pertahanan JDT dan melorongkan nya buat Zah Rahan yang bijak melambungkan bola untuk memerangkap Farizal Marilas seterusnya memastikan The Fighters melangkah ke peringkat separuh akhir.

Lain-lain keputusan perlawanan, Selangor berjaya menewaskan Sarawak dengan agregat 3-2, Pahang menewaskan Lion XII dengan agregat 4-3 dan Kedah menewaskan Selangor PKNS dengan agregat 4-2.

Dari meja Editor Sukan Malaysia, Tahniah buat Felda United, Kedah, Selangor dan Pahang.  Selamat tinggal JDT, kami pasti merindui alunan sorakan the ‘BOS’ di stadium selepas ini….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*