Home / Hoki / SASARAN FINAL BUAT MALAYSIAN TIGERS DI KEJOHANAN HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2020

SASARAN FINAL BUAT MALAYSIAN TIGERS DI KEJOHANAN HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2020

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meletakkan sasaran final buat Malaysian Tigers pada saingan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 tahun ini.

Meskipun skuad hoki kebangsaan masih terluka ekoran gagal ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal percaya sasaran final itu realistik dalam usaha mahu membuktikan skuad kendalian Roelant Olthmans masih antara pencabar di pentas antarabangsa.

Piala Sultan Azlan Shah 2020 akan menyingkap tirainya dari 11 hingga 18 April nanti di Ipoh Perak.

Enam pasukan akan mengambil bahagian iaitu tuan rumah Malaysia, Australia, Kanada, Jepun, Korea dan Pakistan.

New Zealand dan India tidak dapat turut serta kerana berdepan jadual padat menjelang persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia skuad kendalian Roelant Olthmans menghuni ranking ke-11 dunia dan tidak mustahil sasaran ke final mampu dicapai sekalipun berada dibelakang dua lagi pencabar Australia dan Kanada.

Piala Sultan Azlan Shah mula dipertandingkan sejak 1983 dan ia sentiasa menjadi tumpuan peminat tempatan khususnya yang berada di sekitar Ipoh Perak.

Sebagai rekod skuad hoki kebangsaan tidak pernah menjuarai Piala Sultan Azlan Shah namun pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul naib juara sebanyak 5 kali iaitu pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.