Home / Bola Sepak / RANGKUMAN PERLAWANAN TUMPUAN LIGA SUPER DAN LIGA PERDANA BAGI MINGGU KE – 7

RANGKUMAN PERLAWANAN TUMPUAN LIGA SUPER DAN LIGA PERDANA BAGI MINGGU KE – 7

Skuad Tok Gajah berjaya menewaskan Felda United FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Asakan demi asakan dari kedua – dua pasukan menyaksikan perlawanan rancak dihidangkan kepada penyokong yang hadir ke stadium.

Gol berharga Pahang muncul di minit ke-90 hasil jaringan pemain gantian Faisal Abdul Halim untuk  membolehkan 3 mata di raih pasukan Pahang meletakkan mereka kini di puncak liga dengan 17 mata.

PKNP FC akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung musim ini apabila menundukkan Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi.

Pasukan PKNP FC berpesta gol di hadapan lebih 800 penyokong mereka hasil jaringan Yashir Pinto, G. Mugenthirran, dan dua gol Giancarlo.

Di utara tanahair, hajat skuad Helang Merah untuk mengekalkan rekod tidak dibolosi di Stadium Darul Aman tidak menjadi kenyataan apabila hanya terikat seri 1-1 terhadap Johor Darul Ta’zim.

Safawi Rasid menafikan rekod kebal Ifwat Akmal Chek Kassim apabila dia membuka tirai jaringan melalui sepakan percuma yang cantik pada awal minit ke-10.

Namun kesungguhan Kedah berbalas juga pada minit ke-30 apabila mereka menyamakan kedudukan melalui Fernando Rodriguez.

Di Shah Alam, setelah tiga aksi perlawanan sebelum ini tidak menyebelahi pasukan Selangor akhirnya mereka berjaya meraih tiga mata penuh di Stadium Shah Alam selepas menewaskan Terengganu FC 1-0 malam tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut pasukan the Red Giants bagi musim Liga Super 2019.

Faiz Nasir berjaya meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-55 dan ia juga merupakan gol sulung Faiz bersama Selangor selepas meninggalkan skuad Penyu awal musim ini dan jaringan itu kekal hingga ke wisel penamat.

Berlainan pula di Melaka pasukan tuan rumah gagal memanfaatkan beraksi di gelanggang sendiri sebaliknya hanya sekadar seri 0-0 menentang Perak pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Beberapa percubaan muncul namun tidak berjaya disudahkan oleh kedua-dua dan keputusan terus kekal tanpa jaringan sehingga ke wisel penamat.

Untuk rekod, Perak seri untuk kali keempat dalam enam perlawanan Liga Super setakat ini manakal Melaka mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Hang Jebat.