Home / Bola Sepak / CIMB LIGA SUPER MALAYSIA 2020 : RANGKUMAN PERLAWANAN PILIHAN LS1

CIMB LIGA SUPER MALAYSIA 2020 : RANGKUMAN PERLAWANAN PILIHAN LS1

Perak The Bos Gaurus gah menerajui kedudukan apabila melakar kemenangan 3-1 menumpaskan Terengganu FC.

Melaka United juga berjaya membawa pulang tiga mata berharga mengatasi pendatang baharu Liga Super iaitu UiTM FC 2-0 manakala Selangor berjaya menundukkan Pahang 2-1.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak Terengganu yang menjadi venue baharu nyata tidak menterjemahkan tuah buat tuan rumah Terengganu melayani kunjungan Perak.

Sanjar Shaakhmedov menjaringkan gol pendahuluan minit ke-18 permainan.

Foto : Robi Nordin

Bagaimanapun Perak berjaya menyamakan kedudukan empat minit sebelum rehat hasil sepakan penalti yang disempurnakan Guilherme de Paula.

Tuan rumah kemudian resah apabila Perak memimpin permainan pada minit ke-53 menerusi gol kedua pasukan Shahrul Saad.

Kebangkitan yang diharapkan TFC terus lenyap menyaksikan pelawat menambah satu lagi gol ketika permainan berbaki 10 minit sekali lagi menerusi de Paula.

Foto : Robi Nordin

Kekalahan 3-1 di tempat sendiri sememangnya mengecewakan buat skuad kendalian Nafuzi Zain itu manakala Perak terus berada di tangga teratas liga.

Dalam perkembangan lain, hasrat pendatang baharu Liga Super 2020 UiTM FC untuk meraih kemenangan pertama di laman sendiri tidak kesampaian.

Sebaliknya di kem Melaka United kemenangan 3-0 mengatasi pasukan tuan rumah tetap melegakan meskipun anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan itu mampu menampilkan aksi yang lebih baik di Stadium Shah Alam.

Melaka United bijak mengawal perlawanan sejak dari awal lagi dengan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-28 menerusi pemain import Sony Norde.

Pelawat terus memberikan tentangan sengit namun ketangkasan penjaga gol gawang UiTM FC menafikan barisan hadapan pelawat.

Gawang UiTM FC bagaimanapun bolos lagi pada minit akhir perlawanan apabila Romel Morales menggandakan kedudukan menjadikan kedudukan 2-0 buat Melaka United sekaligus membolehkan mereka membawa pulang tiga mata berharga.

Sementara itu satu lagi pertembungan menarik melibat Pahang dan Selangor di Stadium Darul Makmur.

Pasukan tuan rumah ceria meraikan gol pembukaan yang dijaringkan oleh pemain import baharu Ivan Carlos minit ke-20.

Bagaimanapun kelebihan yang diperolehi tuan rumah tidak bertahan lama apabila Selangor menyamakan kedudukan menerusi Ifedayo Omosuyi tujuh minit berselang.

Permainan separuh kedua lebih rancak menerusi aksi berbalas serangan oleh kedua-dua pasukan.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, Brendan Gan muncul penyelamat buat The Red Giant sekaligus membawa pulang tiga mata berharga.