Home / Bola Sepak / Rangkuman Perlawanan Pertama Piala Malaysia 2013

Rangkuman Perlawanan Pertama Piala Malaysia 2013

PIALA MALAYSIA 2013|PERLAWANAN PERTAMA 
Lapuran oleh: Md Duang
Selain sejumlah 21 gol yang terhasil sebaik tirai Piala Malaysia disingkap malam tadi, warna warni kejohanan ini turut diiringi drama layangan kad kuning dan merah. Antara pemain yang bernasib malang mengutip layangan kad merah pada aksi malam ini ialah penjaga gol JDT, Al Hafiz yang dihukum atas kesalahan menangkap bola di luar penalti pada minit ke 60. Manakala aksi sulung kumpulan C antara Pahang dan Kelantan menyaksikan pemain Kelantan, Ahmad Fakhri Saarani menempah kad merah pada minit ke 64 setelah mengumpul dua kad kuning. Bahang perlawanan dipanaskan dengan insiden pemain Pahang,R.Surendren yang hilang kawalan emosi bertindakbalas menendang Daudsu setelah dikasari. Ekoran itu,pengadil tiada pilihan lain seterusnya menghadiahkan kad merah buat Surendren pada minit 80.
Pemain Sime Darby, Togaba meraikan gol bersama rakan sepasukan | Arep Kulal
Dalam aksi kumpulan A, Pasukan ATM tersentak pada penampilan pertama saingan musim ini setelah dikejutkan oleh pasukan kelab Sime Darby 3-4 dalam aksi di Stadium MP Selayang. Sime Darby pantas menyesuaikan diri dengan mendahului 3-1 ketika tamat separuh masa pertama hasil dua gol jaringan pemain import, Togaba Kontiwa Komlan dan satu lagi jaringan oleh Hadzirun Che Hamid. Sime Darby meneruskan kecemerlangan melalui jaringan Fazrul Hazli Kadri. Walaupun ketinggalan 1-4, ATM bingkas bangkit melalui jaringan Irwan Fadzli Idrus dan Venice Elphi namun impian kebangkitan gagal direalisasikan. 

 
Dalam satu lagi perlawanan, Selangor terikat 0-0 dengan Johor FA pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. 

Pemain-pemain PKNS maraikan gol jaringan Patrick Ronaldinho | Radi Mohamad
Aksi dalam Kumpulan B, Pasukan JDT dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada pasukan PKNS FC di Stadium Shah Alam dengan kedua dua gol PKNS FC dijaringkan oleh Patrick Ronaldhino. Tambah memeritkan JDT turut kehilangan khidmat penjaga gol, Al Hafiz setelah menerima layangan kad merah. 
 
Manakala aksi di Stadium MP Temerloh memberi khabar gembira buat Azlan Johar pada penampilan pertama di kem T Team selaku jurulatih. Meskipun menang tipis 1-0, ianya sudah cukup buat T Team memulakan kempen musim ini dengan nota kemenangan. 

Indra Putra membuat cubaan ke arah gol Pahang | Mohd Shah

 

Pertemuan gergasi pantai timur antara Pahang dan Kelantan di Stadium Darul Makmur dalam Kumpulan C berakhir dengan seri 1-1. Kelantan memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului melalui jaringan ketua pasukan Badri Radzi pada minit ke-8. Rentak Kelantan terganggu apabila Ahmad Fakri Shaarani dilayangkan kad merah pada minit ke-65 setelah menerima dua kad kuning. Pahang bagaimanapun gagal mencari gol penyamaan walaupun mempunyai kelebihan bilangan pemain. 

 
Niat Pahang untuk mencuri satu mata bagaikan berkecai apabila R.Surendran dilayangkan kad merah pada minit ke-80 selepas bertindak menendang Daudsu selepas berlaku sedikit kekasaran ketika kedua-dua pemain bergelut untuk menguasai bola. Namun, Damion Stewart muncul wira apabila melayangkan badan untuk melakukan tandukan hasil dari tendangan sudut pada minit ke-85. Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan. 

 
Manakala pasukan bukan pilihan, Negeri Sembilan memberi amaran awal setelah berjaya menumpaskan pasukan Terengganu 2-0 di Kuala Terengganu seterusnya memimpin carta kumpulan. Perlawanan ini juga menyaksikan Abdul Manaf Mamat gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Sang Penyu ketinggalan 0-2 seterusnya menghampakan ribuan penyokong Terengganu. 

Kumpulan D menyaksikan Kedah berjaya membuktikan keupayaan mereka setelah mengikat juara liga Super, pasukan Lions XII dengan jaringan 2-2 di Stadium Jalan Besar. Jaringan penalti oleh Alen Guc pada minit terakhir perlawanan membolehkan Kedah membawa pulang satu mata berharga pada saingan pertama Piala Malaysia ini. Terdahulu Lions XII mendahului hasil jaringan Shahril Ishak pada minit ke-16. Alen Guc menyamakan kedudukan pada minit ke-23. Dikejutkan dengan jaringan tersebut, Lions XII menggandakan asakan sehingga berjaya mendahului lagi melalui jaringan hasil tendangan percuma oleh Shahfiq Ghani pada minit ke-65. 

Pada perlawanan di Ipoh, pasukan Perak nyaris dikejutkan oleh pasukan Sarawak sebelum bangkit memenangi perlawanan dengan jaringan tipis 2-1 di Stadium Ipoh. Gol-gol Perak disumbangkan oleh penyerang importnya, Paulo Rangel bagi membolehkan Azraai Khor menarik nafas lega.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*