Home / Lain - Lain / Ragbi Piala Agong 2019 : Sabah, Kelantan, Johor dan Terengganu menepati ramalan layak ke separuh akhir

Ragbi Piala Agong 2019 : Sabah, Kelantan, Johor dan Terengganu menepati ramalan layak ke separuh akhir

Juara bertahan Sabah, Kelantan, Johor dan Terengganu menepati ramalan layak ke separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 selepas menumpaskan lawan masing-masing pada saingan suku akhir.

Sabah diberi cabaran sengit PDRM sebelum lolos dengan kemenangan 14-12. Kelantan pula mudah menyingkirkan Kedah 50-10 manakala satu lagi pasukan pilihan Johor turut mara dengan kemenangan 28-14 keatas ATM. Terengganu pula menundukkan Kuala Lumpur 42-17 seterusnya melengkapkan pasukan ke fasa empat terakhir.

Terengganu nyata berada dalam kelas tersendiri apabila tidak berdepan masalah mendahului lawan dengan 20-3 tamat separuh masa pertama dan menambah 22 mata pada babak berikutnya untuk meneruskan aksi ke fasa empat terbaik.

Kuala Lumpur yang sedaya upaya mengejar hanya mampu mengutip 17 mata sehingga wisel penamat.

Aksi Johor menentang ATM tidak kurang menarik dengan Johor garang mendahului ATM 7-0 pada babak pertama. ATM cuba bangkit untuk mengutip mata namun Johor enggan membenarkan lawan terus bangkit dengan menambah mata menerusi try Mohd Faiz Aslah.

Tambahan 21 mata pada babak kedua sukar dijangkau oleh ATM yang hanya mampu meraih 14 mata hingga wisel penamat .

Aksi separuh akhir akan berlangsung Selasa depan di UPM Serdang.