Home / Bola Sepak / PIHAK PENGURUSAN PASUKAN DAN PEMAIN DIGESA TINGKATKAN KERJASAMA

PIHAK PENGURUSAN PASUKAN DAN PEMAIN DIGESA TINGKATKAN KERJASAMA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini mengadakan perbincangan dan mengemaskini isu semasa membabitkan bola sepak.

Presiden FAM yang juga Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata turut dibincangkan ialah isu jadual bola sepak dalam berdepan senario ketidaktentuan akibat COVID-19 dan impaknya ke atas bola sepak secara keseluruhan.

Katanya, antara lain turut dibincangkan ialah isu tunggakan gaji pemain yang semakin menurun dan menegaskan kerjsama PFAM dan FAM dalam memastikan isu ini akan terus diberi perhatian dan tidak lagi membelenggu dunia bola sepak negara.

“Semua pihak, FAM, MFL dan PFAM memainkan peranan besar dalam menyelesaikan isu semasa bola sepak terutama yang membabitkan pemain.

“Lantaran itu, kerjasama penting untuk kita menambah baik gerak kerja kedua-dua organisasi demi memelihara kepentingan pemain serta memperkasakan lagi mutu bola sepak negara.

“Kami juga berbincang dan memberi cadangan untuk mengukuhkan lagi cara serta perfahaman pengurusan penswastaan kelab di mana ia penting untuk pembangunan pemain serta bola sepak secara keseluruhan,” kata Datuk Haji Hamidin.

Perbincangan diadakan bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan. PFAM diwakili Presidennya, Safee Sali; Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail bersama ahli exconya yang juga bekas pemain kebangsaan Razman Roslan, Shahrom Kalam dan S. Subramaniam.

Datuk Haji Hamidin turut menegaskan pemain yang lebih senior perlu membimbing pemain baru dalam menjaga kepentingan pasukan dalam sama-sama menjaga Liga Malaysia.

“Bagi saya, pemain dan pasukan perlukan sokongan antara satu sama lain terutama semua pihak perlu faham dalam keadaan ketidak tentuan COVID-19 kita perlu bijak berbelanja mengikut bajet.

“Dalam situasi ini pemain khususnya perlu faham terutama dalam membabitkan soal kontrak dan gaji.

“Secara keseluruhan pasukan dan pemain pastinya ada luahan dan tanggapan masing-masing maka kerja sama dan persefahaman penting demi menyelesaikan sesuatu kes dan kelangsungan industri bola sepak negara,” katanya.