Home / Bola Sepak / #PialaAFF2016: Harimau Malaysia pulang awal dan ‘boikot’ separuh akhir.

#PialaAFF2016: Harimau Malaysia pulang awal dan ‘boikot’ separuh akhir.

Aksi pemain Harimau Malaysia dalam perlawanan menentang Myanmar. ©SukanMalaysiaDotMY

Aksi pemain Harimau Malaysia dalam perlawanan menentang Myanmar. ©SukanMalaysiaDotMY

YANGON, 26 November 2016 : Skuad Harimau Malaysia ditunjukkan jalan pulang apabila gagal melangkah ke pusingan separuh akhir apabila tewas kepada pasukan Myanmar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwunna, Yangon, sebentar tadi.

Datuk Ong Kim Swee ternyata gagal mencapai sasaran ke Final Piala AFF 2016, apabila anak buahnya gagal menandingi semangat juang pasukan tuan rumah Myanmar yang tidak jemu mengasak kubu pertahanan Harimau Malaysia. Tidak belajar dari kesilapan dalam kekalahan kepada pasukan Vietnam tempohari, skrip yang sama berulang apabila penyerang Myanmar, David Htan  meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-89 untuk mengesahkan tempat buat pasukannya di separuh akhir dan menyaksikan Myanmar menamatkan badi 12 tahun gagal ke separuh akhir kejohanan peringkat Asia Tenggara itu selepas kali terakhir mereka layak pada tahun 2004.

Pemain Harimau Malaysia kecewa selepas tewas kepada pasukan Myanmar. ©SukanMalaysiaDotMY

Pemain Harimau Malaysia kecewa selepas tewas kepada pasukan Myanmar. ©SukanMalaysiaDotMY

Harimau Malaysia hampir berada di depan seawal minit keenam menerusi rembatan Ahmad Hazwan Bakri yang sekadar menggegar tiang gol Myanmar. Empat minit kemudian, giliran Myanmar pula menguji kubu Harimau Malaysia dengan sepakan percuma menarik daripada Aung Thu, namun ditepis keluar penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat. Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penyelamat Harimau Malaysia selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Thu pada minit ke-11. Biarpun Myanmar dilihat lebih mengasak, Harimau Malaysia turut mendapat peluang untuk meledak jaringan penting pada minit ke-18, namun rembatan Ahmad Fakri Saarani diselamatkan penjaga gol, Kyaw Zin Phyo. Nasib terus tidak memihak pemain tengah Myanmar itu apabila palang gol pula menjadi penghalang kepada sepakan percumanya pada minit ke-43.

Biarpun permainan terus rancak di babak kedua, namun tiada percubaan berbahaya berjaya dilakukan kedua-dua pasukan melainkan rembatan Baddrol Bakhtiar yang tinggi melepasi palang pada minit ke-68. Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan seri, David Htan muncul wira Myanmar apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-89 seterusnya menunjukkan jalan pulang buat pasukan Harimau Malaysia……