Home / Bola Sepak / PFAM USULKAN DUA SYARAT SITUASI MENANG-MENANG

PFAM USULKAN DUA SYARAT SITUASI MENANG-MENANG

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menetapkan dua syarat utama perlu dipastikan buat pasukan yang membuat rundingan bersama pemain berkaitan isu pemotongan gaji dalam usaha meringankan beban pemain Liga Malaysia berikutan pengangguhan liga ketika ini.

Syarat-syarat yang dipersetujui hasil persidangan maya semalam memberi situasi menang-menang kepada pasukan dan pemain.

Mesyuarat sidang maya semalam dipengerusi presiden PFAM Safee Sali dan turut disertai timbalan presiden Sharom Abd Kalam, ketua eksekutif Izham Ismail dan pegawai eksekutif perundangan Azari Rosli.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan PFAM penekanan pertama yang dipersetujui adalah pasukan yang mempunyai tunggakan gaji sebelum pandemik ini bermula wajib menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu secara jelas dan tanpa pendebatan.

Rundingan perlu dibuat secara individu (case by case) bersama pemain dan bukannya dibuat secara pukul rata kerana jumlah gaji pemain adalah berbeza dalam setiap pasukan.

Pemain juga perlu diberi akses untuk mengetahui secara telus kedudukan kewangan pasukan dalam rundingan yang dibuat.

Jika wujud unsur seperti paksaan (coercion), pengaruh tak wajar (undue influence), representasi salah (misrepresentation) dan penipuan (fraud) PFAM mencadangkan tindakan yang tegas perlu diambil MFL dan FAM dengan segera.

PFAM tidak mempunyai sebarang niat untuk tidak memberi kerjasama kepada para pasukan, MFL mahu pun FAM dan sentiasa terbuka untuk duduk berbincang.

Namun pada masa yang sama adalah sangat mustahak bagi PFAM untuk menyampaikan mesej kepada semua dari perspektif para pemain.

Beberapa pasukan dalam kancah liga tempatan menyambut baik dua syarat utama yang ditetapkan PFAM iaitu Kelantan dan Pulau Pinang.

Setiausaha Agung KAFA Husin Deraman berkata kenyataan dan syarat PFAM itu amat dinanti selepas persatuan itu dilihat enggan membuka pintu rundingan sebelum ini.

Dalam pada itu reaksi berbeza dilontarkan presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Dr Amar Pritfal Abdullah yang lebih bimbang dengan nasib pemainnya beberapa bulan akan datang jika liga tempatan tidak dapat disambung semula.