Home / Bola Sepak / PFAM TERUS PERJUANGKAN HAK DAN GAJI PEMAIN BOLA SEPAK PROFESIONAL MALAYSIA

PFAM TERUS PERJUANGKAN HAK DAN GAJI PEMAIN BOLA SEPAK PROFESIONAL MALAYSIA

Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) telah mengadakan mesyuarat berhubung isu pemotongan gaji pemain yang hangat diperkatakan ketika ini.

Intipati dari mesyuarat tersebut diharap dapat mencapai kata sepakat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas kerajaan turut melanjutkan tempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.

Selepas berusaha keras dalam mempertahankan hak dan gaji pemain bola sepak tempatan PFAM telah mengadakan mesyuarat untuk memastikan pemain dan juga ahli-ahlinya tidak lagi berbelah bahagi berhubung isu pemotongan gaji.

Hasil mesyuarat PFAM itu akan dikongsikan kepada semua pihak dan ia pastinya akan menjadi bahan rujukan buat pemain yang akan mengadakan rundingan bersama kelab dan pasukan masing-masing.

Sama ada hasil mesyuarat akan menemui jalan positif atau pun tidak pendirian terkini daripada PFAM ini dilihat cukup penting buat industri bola sepak negara yang ketika ini terkesan dengan wabak Covid-19.

Sementara itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan sekurang-kurangnya 8 pasukan telah menghubungi badan induk itu untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung garis panduan yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam usaha menangani impak ekonomi susulan Covid-19.

Stuart Ramalingan berharap pasukan-pasukan lain tidak menunggu sehingga saat akhir untuk mengadakan rundingan bersama pemain biarpun FAM menetapkan pasukan perlu mencapai persetujuan menerusi satu perjanjian bersama selewat-lewatnya 20 April ini.

Ketika ini apa yang menjadi penghalang adalah ketegasan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang enggan pemain menjadi mangsa pemotongan gaji.

Stuart sedar PFAM ada mengadakan mesyuarat dan berharap persatuan itu dapat mencapai keputusan yang positif sekaligus membuka pintu rundingan bersama FAM demi kelangsungan atau survival bola sepak negara.