Home / Badminton / Perodua-Daihatsu teruskan kesinambungan penajaan Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2020

Perodua-Daihatsu teruskan kesinambungan penajaan Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2020

Selepas kejayaan penganjuran pada 2018 dan 2019 syarikat pengeluar kereta Perodua bersama Daihatsu meneruskan komitmen untuk menaja Kejohanan Badminton Malaysia Masters untuk dua tahun mendatang bermula dengan saingan edisi 2020 Januari ini.

Ini dilihat bertepatan dengan kesungguhan Perodua yang meletakan badminton sebagai sukan nombor satu dan jalinan kerjasama antara Perodua dengan badan induk badminton negara (BAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyaksikan kesinambungan program pembangunan bakat badminton untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga 2022.

Menjadi kejohanan jelajah dunia 500 pertama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kalendar 2020 sudah pasti Kejohanan Badminton Perodua Masters menjadi tumpuan untuk pemain-pemain dunia mengutip mata awal.

Ia jelas menjadi minat Perodua bersama syarikat gergasi kereta Jepun Daihatsu untuk meneruskan komitmen untuk tempoh dua tahun lagi.

Bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kehadiran Perodua dan Daihatsu bersama keluarga badminton negara semestinya memberi tonik positif terutamanya dikalangan pemain lebih-lebih lagi menuju ke acara kemuncak Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Kejohanan Badminton Perodua Masters akan membuka saingan dari 7-12 Januari tahun hadapan dengan Axiata Arena menjadi lokasi pertandingan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD400,000.

Tiket-tiket mula akan dijual diatas talian bermula 25 November ini.