Home / Lain - Lain / PERINGKAT KEDUA TOUR DE SELANGOR 2019 : CULEY TERUS UNGGULI GELARAN RAJA BUKIT DAN RAJA PECUT

PERINGKAT KEDUA TOUR DE SELANGOR 2019 : CULEY TERUS UNGGULI GELARAN RAJA BUKIT DAN RAJA PECUT

Pelumba Sapura Marcus Culey terus mendominasi perlumbaan Tour de Selangor edisi 2019 apabila sekali lagi muncul pemenang peringkat kedua perlumbaan.

Lebih cemerlang catatan masa lebih enam minit yang dilakar bakal meletakkan Culey dalam kedudukan sukar dicabar untuk bergelar juara keseluruhan TDS 2019.

Peringkat kedua perlumbaan dari Sungai Buloh ke Kajang menyaksikan seramai 96 pelumba dilepaskan di garisan permulaan.

Laluan sejauh 159.4km ini membabitkan tiga zon bukit selain tiga zon pecutan sekaligus memberi kelebihan buat pakar mendaki mendahului perlumbaan.

Kekal dalam Ploton besar kelibat pakar-pakar mendaki kian kelihatan dengan pemegang jersi kuning Marcus Culey turut mencuri mata zon bukit di Bukit Cerakah.

Memasuki kilometer ke-30 giliran pakar-pakar pecut pula mengambil tempat menuju ke zon pecut bermula di Paya Jaras, Sungai Choh dan Pandan Indah.

Enam pelumba membuat pecahan dengan pelumba PGN Rachmad Noka Wibisono mengutip mata pertama. Kayuhan bertenaga Rahmad menyaksikan dia gah mengungguli baki dua zon pecutan di Sungai Choh dan Pandan Indah.

Rahmad kembali menyertai rakan sepasukan yang mengutip mata di zon pendakian kedua di Bukit Ampang.

Bagaimanapun menuju zon pendakian terakhir di Sungai Tekali, Culey dengan kayuhan bertenaga mudah memintas sebelum melakukan gerakan solo menuju ke Kajang.

Dengan rentakan kayuhan yang lebih baik Culey sekali lagi mengesahkan gelaran juara peringkat kedua TDS 2019.

Seperti semalam Culey sekali lagi mengungguli gelaran raja pecut dan raja bukit selepas mengutip mata tertinggi.

Namun paling sensasi kelebihan catatan masa 06:00:13 saat yang dilakar bagai memusnahkan harapan pelumba lain untuk mencabar dengan Culey bolehlah dilabel sebagai pemenang jersi kuning keseluruhan walaupun masih berbaki tiga peringkat.

Peringkat ketiga esok membabitkan laluan terpendek sejauh 90.1km dari Cyberjaya menuju ke Bukit Jugra.