Home / Bola Sepak / PENSTRUKTURAN SEMULA FORMAT PERTANDINGAN & PENYERTAAN PASUKAN PIALA FAM 2019

PENSTRUKTURAN SEMULA FORMAT PERTANDINGAN & PENYERTAAN PASUKAN PIALA FAM 2019

KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER 2018 : Berikut adalah keputusan-keputusan yang telah diambil oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (JKPT) melalui persetujuan oleh kesemua Ahli JKPT susulan daripada perbincangan awal diantara FAM dan MFL pada 22 November 2018 mengenai cadangan untuk menstrukturkan semula format pertandingan dan penyertaan pasukan dalam Piala FAM yang bakal diperkenalkan pada tahun 2019 ini nanti.

1.0    Pasukan-pasukan yang telah mengesahkan penyertaan untuk Piala FAM 2019 selain daripada pasukan-pasukan yang akan ditawarkan untuk menyertai Liga Premier 2019, kini akan menjadi sebahagian daripada pasukan dalam pertandingan M3;

2.0    Piala FAM akan dijadikan sebagai pertandingan kalah mati dengan penyertaan dibuka kepada 64 pasukan yang terdiri daripada komposisi berikut:

2.1    19 pasukan yang bakal dicalonkan oleh Ahli Gabungan FAM;

2.2    Kesemua pasukan dari M3 pada musim yang sama; dan

2.3    Selebihnya daripada pasukan M4 pada musim yang sama dimana kaedah penentuan pasukan akan diputus oleh MFL;

3.0    Pengurusan dan pembiayaan kos bagi pertandingan di peringkat Piala FAM sehingga ke pusingan 16 dan M3 hingga M5 akan diurus dan ditanggung sepenuhnya oleh MFL;

4.0    Pengurusan dan pembiayaan kos pengurusan Piala FAM untuk peringkat Suku Akhir hingga ke Perlawanan Akhir akan diurus dan ditanggung sepenuhnya oleh FAM;

5.0    Johan Piala FAM akan mendapat slot automatik untuk bersaing dengan pasukan yang menduduki tangga terakhir Liga Premier pada tahun yang sama bagi menentu pasukan mana yang layak menyertai Liga Premier pada tahun berikutnya;

6.0    Segala hal ehwal peraturan, format dan garispanduan yang melibatkan Piala FAM kekal di bawah bidangkuasa FAM melalui JKPT;

7.0    Hakmilik dan segala hak intelektual (IP) yang berkaitan dengan Piala FAM adalah milik FAM sepenuhnya dan sebarang perkara yang melibatkannya hendaklah dirujuk dan dipersetujui secara bertulis oleh FAM.

 

DATUK WIRA MOHD YUSOFF MAHADI

TIMBALAN PRESIDEN PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM) & PENGERUSI JAWATANKUASA PERTANDINGAN TEMPATAN FAM