Home / Lain - Lain / PEMBATALAN PENDAFTARAN PERSATUAN AUTOMOBIL MALAYSIA (AAM)

PEMBATALAN PENDAFTARAN PERSATUAN AUTOMOBIL MALAYSIA (AAM)

Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) telah mengambil tindakan membatalkan pendaftaran Persatuan Automobil Malaysia (AAM) pada 30 November 2018 kerana kegagalan mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.

Antara kesalahan yang dikenalpasti membawa kepada pembatalan ini ialah dengan tidak mengemukakan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKB) yang mengandungi dokumen seperti minit mesyuarat Agung, senarai ahli jawatankuasa, penyata kewangan tahunan yang diaudit dan senarai keahlian yang gagal dihantar sejak tahun 2016 lagi.

Tindakan ini terpaksa dilakukan kerana AAM masih tidak memberikan kerjasama walaupun telah beberapa kali diberi surat peringatan dan tunjuk sebab. Justeru itu, PJS memutuskan bahawa AAM bukan lagi entiti yang patut dan wajar didaftarkan untuk mewakili sukan bermotor di Malaysia sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 20 Akta Pembangunan Sukan.

Sebagai badan sukan yang telah dibatalkan, AAM tidak boleh menganjurkan, menjalankan, membenarkan atau menyertai apa-apa aktiviti, termasuk pertandingan, acara, atau forum yang sedang berlangsung bagi mana-mana sukan sama ada di dalam atau di luar Malaysia. AAM telah membuat rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan selaras dengan Seksyen 21 akta namun rayuan berkenaan ditolak.

Federation Internationale de La Automobile (FIA) dan Federation of Internationale de Motorcyclisme (FIM) telah mengambil maklum mengenai pembatalan AAM sebagai badan sukan bermotor Malaysia melalui surat bertarikh 8 Mac 2019. Sehubungan itu, peranan sebagai pengelola badan pengelola sukan bermotor Malaysia akan diuruskan oleh satu badan sukan baru yang akan dimaklumkan kemudian.

Buat masa ini adalah dinasihatkan agar mana-mana pihak tidak berurusan dengan AAM sehingga badan pengelola baharu dimuktamadkan.

DATO’ ZAITON OTHMAN

PESURUHJAYA SUKAN MALAYSIA

26 MAC 2019