Home / Bola Sepak / PEMAIN IMPORT DILARANG KELUAR DARI MALAYSIA

PEMAIN IMPORT DILARANG KELUAR DARI MALAYSIA

Selari dengan perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengenai pelaksanaan kawalan pergerakan untuk menangani penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang kini menyerang rakyat negara ini, semua pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dilarang untuk meninggalkan negara sepanjang tempoh penundaan liga tempatan bagi mengelak daripada tidak dibenarkan masuk semula ke negara ini.

“MFL hari ini mengeluarkan garis panduan kepada setiap pasukan Liga Malaysia 2020 selaras dengan arahan perintah kawalan pergerakan akibat wabak Covid-19 seperti yang diumumkan oleh pihak Kerajaan Malaysia semalam.

“MFL dengan ini memaklumkan perkara-perkara seperti berikut, pertama, pasukan adalah dilarang mengadakan latihan.

“Kedua, pemain asing tidak dibenarkan sama sekali meninggalkan negara ini kerana dikhuatiri pemain berkenaan tidak dibenarkan masuk semula disebabkan sekatan kemasukan warga asing ke negara ini seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia.

“Ketiga, pasukan tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan dan keempat, semua pasukan perlu mengurangkan pergerakan pasukan.

“Sehubungan dengan itu, MFL menggesa semua pihak memberi kerjasama yang baik terutamanya ketika situasi yang mencabar ini dengan mematuhi arahan pelaksanaan kawalan pergerakan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia bermula 18 hingga 31 Mac ini,” kata kenyataan MFL itu.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL telah menangguhkan semua kejohanan di bawah kelolaan badan induk itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Antara kejohanan di bawah kelolaan FAM termasuk Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia sementara kejohanan di bawah MFL merangkumi saingan Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.