Home / Bola Sepak / Pasukan yang gagal dalam melengkapkan kriteria bakal berdepan tindakan – FAM

Pasukan yang gagal dalam melengkapkan kriteria bakal berdepan tindakan – FAM

Jawatankuasa Perlesenan Kelab (FIB) Persatuan Bola Sepak Malaysia memaklumkan 9 daripada 12 pasukan Liga Super musim ini mendapat kelulusan lesen kelab kebangsaan yang membolehkan mereka beraksi dalam liga tertinggi kebangsaan tempatan tahun depan.

Manakala bagi saingan Liga Perdana pula hanya 3 daripada 9 pasukan yang berjaya menerimanya manakala selebihnya perlu melengkapkan segala proses dengan segera atau berdepan tindakan diturunkan ke liga bawahan.

Mesyuarat First Instant Body bagi perlesenan kelab telah memutuskan pasukan yang memenuhi peraturan kelayakan beraksi.

Johor Darul Ta’zim, Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Selangor FA, Terengganu FA, Felda United FC dan PJ City FC memperolehi lesen AFC.

Manakala Pahang FA, Felda United FC dan PJ City FC diberikan lesen kebangsaan bersama-sama Negeri Sembilan FA, Sabah FA dan UiTM FC.

Melaka FA, PKNS FC serta PDRM FA, Pulau Pinang FA dan Selangor United FC pula memperoleh lesen bersyarat iaitu perlu melengkapkan kriteria permohonan sehingga 30 Oktober sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan penurunan liga.

Begitu juga dengan Kelantan FA, Sarawak FA dan UKM FC yang ditangguhkan status mereka buat masa ini.

Sementara PKNP pula gagal mendapatkan lesen sehingga kini kerana gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Kriteria yang ditetapkan dalam proses permohonan lesen 2020 yang dinilai pada September 2019 ini hanya berdasarkan kepada laporan kewangan pada tahun 2018 yang telah diaudit serta laporan daripada pengurusan pasukan bagi tempoh Januari 2019 hingga Jun 2019.

Memandangkan kriteria dan penilaian yang dibuat mempunyi jurang waktu tertentu, satu lagi syarat tambahan juga perlu dikemukakan semua pasukan sebelum 15 Disember iaitu surat pengisytiharan mencakupi penjelasan gaji, caruman KWSP, LHDN dan PERKESO.

Seterusnya lawatan dan pemeriksaan akan dilakukan kesemua pasukan bagi memastikan perakuan yang dibuat adalah benar.