Home / Lain - Lain / Pasukan Ragbi UiTM Lions Ke Pentas Akhir Liga Ragbi Premier Malaysia 2019

Pasukan Ragbi UiTM Lions Ke Pentas Akhir Liga Ragbi Premier Malaysia 2019

8 Februari 2019 – Pasukan ragbi Universiti Teknologi MARA atau lebih dikenali sebagai UiTM Lions akan membuat kemunculan kali ketujuh di Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 yang akan bermula dari 17 Februari sehingga 24 Mac 2019.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, YBhg. Prof. Dato’ Dr Abdullah Mohammad Said, bagi musim 2019 ini kita mensasarkan untuk beraksi di pentas akhir. Walaupun 70 peratus adalah pemain yang baru kali pertama beraksi dalam kejohanan ini, pihak pengurusan pasukan yakin untuk pasukan ragbi UiTM mencapai sasaran ini.

Lapan pasukan akan bertanding di dalam kejohanan pada musim ini dan UiTM Lions diundi dalam kedudukan Kumpulan A bersama juara bertahan Keris Conlay, UPM Angels dan SSTMI Tsunami.

Pasukan ragbi UiTM yang dibarisi oleh mahasiswa UiTM mula menjalani latihan pusat bermula 17 Januari yang lalu bagi mempersiapkan pasukan untuk memberi cabaran kepada semua pasukan yang bertanding.

Bagi musim 2019, pasukan ragbi UiTM telah mendapat suntikan beberapa penaja bagi membantu pasukan seperti syarikat Hyba Quest dan SkyWorld Development Sdn Bhd. Pengeluar fabrik pakaian sukan, Fitech PLT juga akan menaja jersi pasukan ragbi UiTM bagi tujuan menjalin kerjasama penyelidikan untuk menghasilkan fabrik jersi ragbi.

Menurut Ketua Jurulatih, Zamri Abd Kahar, jersi yang akan digunakan ini akan dapat membantu pemain untuk merasa lebih selesa dan sesuai mengikut keadaan fizikal pemain dan cuaca di negara kita ini. Ini seterusnya dapat membantu syarikat tempatan untuk mampu menghasilkan fabrik pakaian sukan yang lebih berkualiti setaraf dengan jenama sukan dari luar negara.

Pasukan ragbi UiTM Lions juga akan diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import dari Fiji yang telah mula menjalani latihan bersama pasukan pada hari semalam.

Kapten pasukan skuad 15 sebelah negara, Mohd Syahir Asyraf Rosli juga akan membuat penampilan kali pertama membarisi pasukan UiTM Lions bagi musim kali ini. Untuk rekod, pasukan ragbi UiTM Lions berjaya bermain dipentas akhir pada musim 2013 bertemu pasukan Keris Conlay.