Home / Bola Sepak / Pahang sasar juarai edisi sulung MPFL 2019

Pahang sasar juarai edisi sulung MPFL 2019

Pasukan futsal Negeri Pahang atau kini dikenali dengan nama Pahang Rangers meletakkan sasaran mahu menjuarai edisi sulung Malaysia Premier Futsal League (MPFL) yang dijadual membuka tirainya pada bulan Jun depan.

Sebagai memperlihatkan keinginan untuk muncul sebagai kuasa besar futsal tanah air, Pahang Rangers telah merekrut beberapa pemain bintang, termasuklah ketua pasukan Harimau Malaya, Khairul Effendi Bahrin untuk memperkuatkan skuad.

Selain Khairul Effendi yang mesra dipanggil Ayon, pemain lain yang menyertai revolusi besar-besaran pasukan yang terbentuk menerusi gabungan pasukan futsal Negeri Pahang dan juga Kuantan Rangers ini adalah empat lagi pemain kebangsaan iaitu Abu Haniffa Hassan, Azwann Ismail, Firdaus Ambiah dan Saiful Nizam Mohd Ali.

Pahang Rangers juga sudah sedia mempunyai beberapa lagi pemain kebangsaan di dalam pasukan iaitu Akmarulnizam Idris, Syafiq Hamzah, Iqbal Aikal Mohd Noor dan juga Harith Naim Mohd Nasir, serta pemain skuad bawah 20 tahun kebangsaan seperti Mahadir Harahap Khairuddin dan Iskandar Harun.

Kesemua mereka diperkenalkan dalam Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Pasukan Pahang Rangers di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada Ahad.

Majlis telah disempurnakan oleh Presiden Pahang Rangers, Yang Amat Mulia Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah.

“Pertama sekali terima kasih kepada YAM Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang yang berkongsi keinginan tinggi mahu melihat futsal Pahang direvolusikan dengan memberikan Kuantan Rangers hak menguruskan pasukan seterusnya menjayakan pengambilalihan ini. Saya cukup teruja!

“Sudah tentu sasaran dan visi jangka panjang kita bukan sekadar mahu menjadi dominan dalam arena futsal domestik, tetapi mahu membawa nama Malaysia di pentas lebih tinggi seperti AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), dan saya percaya kita berada di landasan tepat.

“Futsal sukan yang menjadi kegilaan ramai, kita mahu mengangkat martabat futsal untuk berada di aras lebih tinggi. Saya semakin tidak sabar menantikan permulaan MPFL dan harapan tinggi saya kita mahu mengegar musim ini,” ujar YAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah.

Sebagai rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan MPFL pada bulan Februari lalu, bagi menggantikan Liga Futsal Kebangsaan, sebagai langkah maju ke depan seiring dengan peta halatuju F:30.

Bagi Ketua Jurulatih, Ridzuan Abdul Halim, beliau sedar akan harapan tinggi yang diletakkan oleh pengurusan mahupun penyokong namun dia sudah bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.

“Jika dulu kita adalah sebuah pasukan kelab dari Pahang (Kuantan Rangers), sekarang kita mewakili negeri Pahang. Jadi ia adalah satu suntikan, dan satu motivasi kepada pemain pemain kerana kini kita bawa imej dan identiti baru.

“Sasaran peribadi saya memang tinggi, apatah lagi dengan tambahan wajah baru memang saya mahu bawa pasukan ini muncul juara. Bukan kerana kita rasa kita sudah cukup bagus, saya akui kita masih banyak perlu perbaiki tetapi ini adalah apa yang saya inginkan.

“Sejak dari zaman saya bermain untuk Pahang di Liga Futsal Felda, kemudian Liga Futsal Kebangsaan, sehingga sekarang sudah menjadi jurulatih, Pahang tidak pernah merasai gelaran juara, dan saya mahu tamatkan penantian itu.
Ia akan menjadi satu detik yang cukup bersejarah buat futsal negeri Pahang,” kata Ridzuan.

Kapten pasukan, Akmarulnizam Idris pula berkata, “Ia adalah satu tanggungjawab besar untuk memimpin sebuah pasukan yang dibarisi ramai pemain terkemuka futsal tanah air, saya berterima kasih atas kepercayaan ini. Apa sekalipun kita perlu kekal fokus dan tidak terbuai, saya mahu semua pemain membuang jauh tanggapan kita adalah pasukan pilihan dan juga tumpuan dalam MPFL, bagi komitmen 200 peratus dalam setiap perlawanan tanpa memandang rendah mana-mana pasukan.

Sementara bagi Ayon yang pernah mengenggam kejuaraan LFK bersama Melaka dan turut pernah bermain bersama kelab Indonesia, SKN Kebumen, dia yakin keputusan menyertai Pahang Rangers adalah satu keputusan tepat.

“Kita sudah sedia tahu tentang pasukan ini, mereka bukan pasukan baru, sudah beberapa tahun bertapak, pernah menjuarai Liga Brunei dan mempunyai latar belakang yang cukup baik apatah lagi Presiden, YAM Tengku Fahd diketahui sebagai seorang yang sangat mencintai futsal,” katanya mewakili rakan yang lain.