Home / Bola Sepak / Pahang bermula langkah kanan

Pahang bermula langkah kanan

Pahang memulakan kempen saingan Liga Super Malaysia 2019 dengan mengutip tiga mata penuh di laman lawan dengan menewaskan Kuala Lumpur 1-3.

Berstatus antara pasukan pilihan, Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap import dari Indonesia iaitu Saddil Ramdani pada minit ke-24.

Kecemerlangan penjaga gawang Kuala Lumpur iaitu Mohd. Sharbinee Allawee Ramli  banyak menggagalkan percubaan jentera serangan Pahang dengan sekembalinya ‘orang besi’ mereka iaitu Dickson Nwakaeme.

Kedudukan kekal 0-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Kuala Lumpur cuba bermain lebih agresif pada separuh masa kedua dan berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan voli Afiq Ahmad Razali hanya tiga minit selepas perlawanan bersambung.

Nwakaeme tidak menunggu lama untuk kembali meletakkan Tok Gajah di depan apabila memanfaatkan kesilapan Sharbinee yang gagal mengeluarkan bola hantaran silang Mohamadou Sumareh dengan kemas untuk gol kedua Pahang pada minit ke-53.

Beliau sekali lagi mencetak gol peribadi kedua pada minit akhir perlawanan seterusnya memuktamatkan tiga mata penuh buat Pahang.