Home / Lain - Lain / OLAHRAGA MENUTUP HARI GEMILANG NEGARA TATKALA SUKAN SEA BERBAKI DUA HARI

OLAHRAGA MENUTUP HARI GEMILANG NEGARA TATKALA SUKAN SEA BERBAKI DUA HARI

Kontinjen Malaysia terus menggembleng perjuangan tatkala Sukan SEA hanya berbaki dua hari bagi melabuhkan tirai dengan meraih tiga lagi pingat emas pada hari ke-10 pertandingan.

Menambah keceriaan buat kem Malaysia apabila pingat emas atlet gimrama Izzah Amzan turut dikembalikan penganjur selepas bantahan yang dibuat kepada jawatankuasa penganjuran Sukan SEA (FISGOG) diterima.

Olahraga menyumbang dua emas dan antara atlet yang menampilkan kecemerlangan adalah Muhd Hakimi Ismail yang melakar kejayaan hatrik mengekalkan penguasaan dalam acara lompat kijang buat edisi ketiga Sukan SEA berturut-turut.

Hakimi membuat lompatan terbaiknya pada percubaan ketiga dengan jarak 16.68m untuk merangkul pingat emas.

Tempat ketiga disandang atlet tuan rumah Mark Harry Deon yang melakukan catatan 16.42m sementara pingat gangsa dimenangi Sapuatu Rahman dari Indonesia dengan catatan 16.21m.

Seorang lagi atlet negara Andre Anura Annuar pula meraih tempat kelima..

Menutup hari gemilang olahraga pada hari terakhir Sukan SEA 2019 adalah kejayaan jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin yang meraih emas.

Irfan terlalu unggul untuk digugat peserta lain apabila mencatat jarak terbaik 57.29m pada balingan pertama sekaligus membutirkan emas keempat berturut-turut sejak edisi 2013.

Pingat perak dimenangi wakil tuan rumah Morrison William dengan lontaran 51.38m sementara gangsa menerusi catatan 51.29m diraih Narong Banjaron dari Thailand.

Juga tidak ketinggalan menyumbang emas adalah pasukan hoki dalam dewan wanita yang beraksi hingga ke penentuan shoot out sebelum menundukkan Thailand 2-0 selepas aksi masa sebenar permainan berakhir dengan keputusan 1-1.

Kejayaan ini membolehkan skuad negara merampas emas yang dimenangi lawan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Acara snooker pula menyaksikan pemain negara terpaksa akur hanya meraih pingat perak dalam acara individu lelaki selepas tewas kepada pemain Thailand dengan keputusan 2-4.

Juga meraih pingat perak trio menembak lelaki yang beraksi dalam cara Trap Shotgun yang menewaskan pasukan tuan rumah.

Turut membanggakan Cassandra J Poyong dalam acara Jiujitsu (55kg Wanita) yang tidak menghampakan menghadiahkan perak seterusnya buat negara.

Dua pingat perak lain disumbangkan pasukan sepak takraw wanita dalam acara beregu dan Awangku Marajaya dalam acara kickboxing lelaki.

Beberapa pingat gangsa disumbangkan penembak negara Ong Chee dalam acara Trap Shotgun individu selain Sheikh Muhammad Taslim dalam acara basikal (BMX Freestyle Flatland) serta Lee Ai Jin menerusi acara Jiujitsu 45kg.

Dalam pada itu juga emas ke-51 negara yang disumbangkan atlet lompat tinggi negara Yup Shen Yee semalam dianggap cukup bermakna.

Shen Yee mencipta sejarah sebagai atlet sulung wanita memenangi emas acara lompat tinggi di pentas Sukan SEA.

Malaysia sudah jelas tidak berjaya mencapai sasaran pingat 70 pingat emas dengan terkini berada di kedudukan kelima dengan 55 pingat emas.

Tuan rumah Filipina tidak tercabar lagi untuk bergelar juara keseluruhan Sukan SEA kali ini diikuti Vietnam, Thailand dan Indonesia.