Home / Lain - Lain / NURAISYAH DAN JUNI RAIH TIKET KE SUKAN OLIMPIK BAGI ACARA INTERNATIONAL 470 WANITA

NURAISYAH DAN JUNI RAIH TIKET KE SUKAN OLIMPIK BAGI ACARA INTERNATIONAL 470 WANITA

Sukan pelayaran terus menceriakan arena sukan menjelang Sukan Olimpik 2020 di Jepun apabila Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali layak secara merit menerusi kategori International 470 Wanita selepas beraksi cemerlang pada Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa di Shenzen China.

Kejohanan di Shenzen adalah sebahagian daripada pentas kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Paling manis ini adalah kali pertama Malaysia layak bagi kelas International 470.

Pada kejohanan itu pelayar negara cemerlang mengetepikan cabaran terdekat dari Thailand dan Singapura. Gandingan negara itu layak ke Tokyo selepas meraih tangga kelima international 470 wanita, mengatasi Singapura dan Thailand yang turut memburu tiket sama.

Sebelum ini dua atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Affendi dan Norshazri Mohd Latif terlebih dahulu melayakkan diri bagi kategori Laser Standard dan Laser Radial.

Ini bermakna Malaysia mempunyai tiga wakil dalam kelas berbeza di Sukan Olimpik.

Sementara itu, kejayaan itu cukup bermakna untuk Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) yang dikritik hebat selepas gagal meraih sebarang pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, 30 November-11 Disember lalu.

“Kita menyasarkan kelayakan ke Tokyo dalam satu lagi acara, iaitu RS:X, dan berharap segalanya berjalan seperti apa yang telah dirancang,” kata Ketua Pegawai Operasi MSA, Mazlan Othman.