Home / Lain - Lain / MSN SELANGOR KOMITED KEBAJIKAN ATLET SUKMA

MSN SELANGOR KOMITED KEBAJIKAN ATLET SUKMA

Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) kekal memastikan atlet-atletnya tidak terabai dengan gaji dan elaun tetap dibayar seperti biasa sepanjang tempuh perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa.

Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Adi Faizal Ahmad Tarmizi jumlah dan elaun atlet Selangor mencecah anggaran sehingga RM300,000.00 sebulan.

MSNS tetap meneruskan pembayaran berikutan komitmen atlet-atlet Selangor yang terus kekal menjalani latihan di rumah sepanjang perintah kawalan pergerakan ketika ini.

Belum ada ketatapan tarikh baharu SUKMA 2020 namun keyakinan tinggi tetap disuarakan MSNS terhadap barisan atlet yang akan ke Johor nanti.

“Prestasi atlet sendiri sebenarnya telah kita jangka untuk berada di tahap yang terbaik pada Sukma yang akan datang ini. Walau bagaimanapun dengan penundaan ini saya percaya atlet-atlet amat positif dan percaya masih wujud ruang untuk mereka memperbaiki dan menilai semula prestasi dan pencapaian semasa”, ujar Adi.

Pada temasya Sukma 2020 di Johor nanti kontinjen Selangor akan dibarisi seramai 660 atlet beserta 150 pegawai mengambil bahagian dalam kesemua 31 acara sukan yang akan dipertandingkan.

Berdasarkan rekod sejak Sukma dipertandingkan pada 1986, 9 kali Selangor menamatkan saingan selaku juara keseluruhan dengan kali terakhir pada temasya Sukma 2016 di Sarawak.

Selangor muncul juara dengan mengumpul 59 pingat emas, 79 perak dan 64 gangsa mengatasi tuan rumah Sarawak di tempat kedua diikuti Terengganu dan Wilayah Persekutuan masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

MSN Selangor telah menetapkan sasaran untuk meraih 45 pingat pada temasya Sukma 2020 di Johor.