Home / Lain - Lain / MSN JALIN KERJASAMA PENDIDIKAN DENGAN KOLEJ SEGI KUALA LUMPUR

MSN JALIN KERJASAMA PENDIDIKAN DENGAN KOLEJ SEGI KUALA LUMPUR

Majlis Sukan Negara telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) pendidikan bersama Kolej SEGi Kuala Lumpur .

Perjanjian persefahaman selama 5 tahun bermula Disember 2020 hingga Disember 2025 ini adalah kerjasama bagi membolehkan atlet negara meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

Kolej SEGi Kuala Lumpur menawarkan tempoh pengajian fleksibel kepada atlet dibawah program MSN dengan tempoh pengajian antara 5 hingga 8 tahun mengikut jenis program.

Selain itu, kerjasama ini turut terbuka kepada jurulatih dibawah program MSN, bekas atlet dan kakitangan MSN.

Kerjasama ini juga menyaksikan biasiswa penuh ditawarkan kepada seramai 5 orang atlet yang berpotensi menyumbang pingat untuk Malaysia terpilih setiap tahun dengan jumlah maksimum sehingga RM60,500 setiap seorang sehingga tamat pengajian.

MSN diwakili Ketua Pengarah, YBhg. Dato’ Ahmad Shapawi Ismail manakala Kolej SEGi Kuala Lumpur diwakili Pengetua, En. Sri Jaiandran Munusamy dan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB. Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif SEGi Group of Colleges, Cik Stella Lau Kah Wai.

Sehingga kini , terdapat 2 atlet gimrama negara sedang melanjutkan pelajaran di Kolej SEGi Kuala Lumpur iaitu Chan Mei Thung dan Koh Jei Yi.Kedua-dua atlet ini sedang mengikuti kursus tahun satu dalam Diploma Kulinari dan Diploma Sains Komputer dan menerima tajaan biasiswa sukan SEGi.

Chan Mei Thung dan Koh Jei Yi merupakan pemenang pingat emas acara “group all around” pada Sukan SEA Filipina 2019.