Home / Lain - Lain / MKN SETUJU BUKA SEKTOR SUKAN DAN REKREASI KEBANGSAAN MULAI 1 JAN 2O21

MKN SETUJU BUKA SEKTOR SUKAN DAN REKREASI KEBANGSAAN MULAI 1 JAN 2O21

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk membuka semula sektor sukan dan rekreasi pada 1 Januari 2021.

Beliau berkata, persetujuan itu dibuat hasil daripada pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai SOP baharu yang dicadangkan.

“KBS telah membentangkan cadangan SOP kepada jawatankuasa dan bersetuju untuk pembukaan aktiviti bermula 1 Januari 2021. Tapi SOP bergantung dengan kawasan PKPB dan PKPD.”

Ismail menjelaskan kerajaan memberikan kebenaran berbeza di kawasan PKPP, PKPB dan PKPD.

“Dalam kawasan PKPP seperti kebanyakan tempat di negara ini, penganjuran kejohanan tempatan adalah dibenarkan dengan kapasiti penonton sebanyak 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton, bergantung kepada yang mana lebih kurang.

“Manakala penyertaan aktiviti melebihi 500 orang tidak dibenarkan.

“Untuk PKPB, aktiviti sukan kategori individu dan berpasukan bagi tujuan latihan, permainan dan perlawanan tanpa penonton dibenarkan.

“Tetapi dalam PKPD, sebarang aktiviti sukan dan rekreasi tidak dibenarkan.”

Ismail juga berkata Liga Malaysia dibenarkan beroperasi bermula Januari 2021.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran kejohanan antarabangsa tertakluk kepada kelulusan Jabatan Imigresen.

“Penyertaan dari negara-negara berisiko tinggi adalah tidak dibenarkan kecuali Jabatan Imigresen benarkan.

“Penyertaan untuk kejohanan yang dianjurkan di luar negara tertakluk kepada kelulusan Jabatan Imigresen.”