Home / Bola Sepak / MFL MASIH BELUM ADA TARIKH MUKTAMAD PENYAMBUNGAN LIGA MALAYSIA

MFL MASIH BELUM ADA TARIKH MUKTAMAD PENYAMBUNGAN LIGA MALAYSIA

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Abd Ghani Hassan membuat kenyataan belum ada tarikh muktamad penyambungan Liga Malaysia walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk penganjuran kejohanan pertandingan sukan bersentuhan fizikal bermula 15 Ogos hadapan.

Ini memandangkan beberapa aspek perlu diteliti terlebih dahulu sebelum penyambungan liga dapat dijalankan.

Penyambungan Liga Malaysia pastinya ditunggu-tunggu peminat tanahair selepas arena bola sepak sepi tanpa sebarang pertandingan mahu pun kejohanan akibat pandemik Covid-19.

Selain menyajikan peminat dengan aksi bola sepak tempatan pastinya penyambungan liga sangat penting bagi skuad kebangsaan terutamanya menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 Oktober nanti.

Tambah Datuk Abd Ghani MFL akan melonggarkan SOP sedia ada memandangkan latihan dengan kontak turut dibenarkan.

Ini termasuklah tambahan bilangan pemain di padang dan sesi latihan boleh dilanjutkan selama dua jam bagi setiap sesi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan sukan yang berbentuk kontak sama ada berpasukan atau individu boleh dimainkan semula secara fizikal dan taktikal mulai 15 Julai ini.

Ini disusuli kebenaran untuk kejohanan dan pertandingan diadakan semula bermula 15 Ogos.

Bagaimanapun pertandingan adalah dihadkan kepada acara sukan tempatan sahaja dan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton sama ada di gelanggang atau stadium.