Home / Bola Sepak / MFL KEMUKA RAYUAN KEPADA MAJLIS KESELAMATAN NEGARA

MFL KEMUKA RAYUAN KEPADA MAJLIS KESELAMATAN NEGARA

Malaysia Football League (MFL) dijangka akan mengemukan rayuan penganjuran saingan Piala Malaysia kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam jangka masa terdekat.

Keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan selepas mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Penganjuran saingan bola sepak di negara itu juga sedia membuat perancangan khas beserta SOP yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu Quarantine Based demi kempen Piala Malaysia dapat disambung kembali.

Sebagai contoh pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir.

Pasukan yang kalah di peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan.

Perancangan dan rayuan terbaharu ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir menyaksikan mereka bersedia beraksi mengikut SOP dan syarat seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN.

“Kami sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi COVID-19 di negara yang menyebabkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Bagaimanapun MFL masih berharap agar pihak MKN dapat mempertimbangkan rayuan MFL untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP (Prosedur Operasi Standard) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.

Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan penangguhan saingan TM Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan. Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama penaja-penaja untuk Liga Malaysia Musim 2020 sekiranya pertandingan TM Piala Malaysia 2020 tidak dapat diteruskan.

“Agak sukar untuk MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain-pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan-pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini,” katanya.

Sebagai rekod, kejohanan TM Piala Malaysia 2020 telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.