Home / Bola Sepak / MELAKA UNITED DITOLAK 3 MATA OLEH FAM

MELAKA UNITED DITOLAK 3 MATA OLEH FAM

Melaka United menerima tamparan hebat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan pemotongan tiga mata liga keatas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu.

Tindakan tegas itu diambil Jawatankuasa Perlesenan Kelab FAM apabila mendapati Melaka United gagal melunaskan baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan Kelab telah membincangkan empat kes membabitkan Melaka United, PDRM, Kelantan dan Sarawak.

Melaka United pada mulanya telah berjaya membuat penyelesaian lebih separuh dari tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020 sebelum membuat persetujuan penyelesaian bagi baki yang tertunggak.

Tetapi Melaka United gagal membuat pembayaran balik mengikut jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan pada penghujung Februari sekaligus menyebabkan FAM mengambil tindakan mengenakan pemotongan tiga mata

Perkara itu akan dimaklumkan kepada pengendali Liga Super iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan sekiranya gagal menyelesaikan baki dalam tempuh yang 6 minggu yang diberikan sehingga 20 April depan, Melaka United berdepan tambahan pemotongan sebanyak enam lagi mata.

Dalam pada itu PDRM yang selama ini yang telah dipotong tiga mata pada 3 Februari didapati masih mengikut pelan pembayaran ansuran yang dikenakan keatas mereka dan berharap ia dapat diselesaikan sehingga berakhirnya baki tunggakan.

FAM juga masih memantau pembayaran yang dibuat pasukan Kelantan menerusi jadual pembayaran yang telah dipersetujui namun tidak membabitkan kes bekas pemain Amir Ridzuan Taj Tajuddin.

Manakala kes-kes tertunggak membabitkan Sarawak telah pun diselesaikan sepenuhnya dan tiada lagi tunggakan hutang dengan pemain dan pegawai kecuali tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).