Home / Hoki / Malaysia Tigress terlepas slot kelayakan Sukan Olimpik 2020

Malaysia Tigress terlepas slot kelayakan Sukan Olimpik 2020

Skuad hoki wanita kebangsaan Malaysia Tigress terlepas peluang untuk beraksi dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 menerusi senarai pasukan yang dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Hanya skuad hoki lelaki negara berada dalam kalangan 15 pasukan disenaraikan dengan Australia atau New Zealand akan dikeluarkan sekiranya menjuarai saingan Piala Oceania.

Ini sekaligus memusnahkan skuad harapan bimbingan Muhammad Dhamaraj Abdullah untuk mengisi slot ranking terkini walaupun berjaya memperbaiki kedudukan ke tangga 20 dunia.

Walaupun masih belum dimuktamadkan senarai 14 pasukan yang akan terbabit dalam proses undian kejohanan Piala Oceania hanya berakhir 8 September nanti peluang untuk Malaysia Tigress untuk tersenarai tetap sukar selepas Russia turut mencuri satu slot kelayakan.

Sementara itu bagi saingan lelaki Malaysia seperti dijangka akan berada dalam kumpulan pasukan pelawat.

Bermakna pada proses undian nanti selepas Australia atau New Zealand dikeluarkan dari senarai bakal menyaksikan Malaysia bersama Perancis atau Ireland dan Korea berada dalam kumpulan 3 akan diundi menentang 4 pasukan tuan rumah iaitu Great Britain, Sepanyol atau Jerman bergantung kepada keputusan Piala Oceania dan Kanada.

Berdasarkan kekuatan yang dimiliki skuad kebangsaan ketika ini Malaysia pastinya berharap untuk diundi sama ada bertemu New Zealand atau pun Kanada dengan peluang agak cerah untuk menamatkan kemarau 20 tahun selepas kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke temasya Olimpik 2000 di Sydney Australia.