Home / Bola Sepak / MALAYSIA BAKAL HADAPI SERANGAN FILIPINA YANG TERLUKA

MALAYSIA BAKAL HADAPI SERANGAN FILIPINA YANG TERLUKA

Perlawanan kedua menentang Filipina malam esok pastinya menjanjikan saingan sengit pada skuad Datuk Ong Kim Swee selepas skuad muda The Azkals ketika ini bagai terluka di halaman sendiri selepas dikejutkan oleh Myanmar.

Tuan rumah Filipina dijangka melakukan serangan habis-habisan ke gawang skuad negara untuk menghidupkan peluang melepasi peringkat kumpulan A.

Ini selepas Filipina menghuni tangga keempat kumpulan A selepas sekali seri dan sekali tewas sementara Malaysia yang baru beraksi satu perlawanan kekal di tangga ketiga.

Dalam pada itu beberapa pemain negara yang dihimpit masalah kecederaan antaranya ketua pasukan Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari nampak cergas menjelang perlawanan menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal malam esok.

Perkabaran itu amat melegakan Datuk Kim Swee yang mengimpikan tiga mata penuh dalam perlawanan kedua.

Sementara itu pemain sayap negara Akhyar Rashid mengakui sudah mengetahui kelemahan Filipina.

Beliau menjelaskan pasukannya bukan sahaja menonton dan menilai video perlawanan Filipina malah sering berkunjung ke Stadium Memorial Rizal untuk menyaksikan secara dekat kemampuan lawan mereka.

Sebagai rekod ini merupakan penampilan kedua Akhyar di pentas Sukan SEA selepas kali pertama membantu Malaysia meraih pingat perak di Kuala Lumpur.

Akhyar menjadi sandaran utama ketika ini selepas Safawi Rasyid diberi pelepasan untuk berehat.